"Dan katakanlah: Beramallah kamu, maka Allah dan RasulNya serta orang-orang beriman akan melihat amalan kamu itu dan kamu akan dikembalikan kepada Tuhan Yang Mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu diceritakannya kepada kamu apa yang telah dikerjakan"(At-Taubah:105)

Thursday, January 19, 2012

Sejengkal Demi Sejengkal, Sehasta Demi Sehasta...


"Nabi sallAllahu `alaihi wasallam pernah bersabda: “Kamu akan mengikut jejak langkah orang-orang sebelummu sejengkal sejengkal dan sehasta sehasta sehingga kamu akan menuruti mereka walaupun mereka memasuki lubang-lubang biawak.” Sahabat bertanya: "Siapakah mereka itu ya Rasulullah?” Nabi sallAllahu `alaihi wasallam menjawab: “Yahudi dan Nasara, siapa lagi.” (HR Muslim)

Lihatlah sekeliling kita. Hampir semua cara hidup orang-orang Yahudi dan Nasrani (Kristian) telah menyerap masuk ke dalam kehidupan masyarakat kita. Cara kita menyapa saudara kita, fesyen berpakaian kita, kehidupan berumahtangga kita, cara kita berinteraksi dan cara kita berfikir telah hampir-hampir sama dengan mereka. Atau mungkin sudah sama dengan mereka?!!

Media telah berperanan dengan sangat cemerlang dalam mengubah sedikit demi sedikit masyarakat kita sejak puluhan tahun lamanya. Idea Yahudi dan Nasrani telah mencorak luar dan dalam jiwa kita. Televisyen telah menjadi alat yang paling efisyen merubah tanggapan dan mengelirukan minda ummat. Yang salah pada pandangan agama diperdanakan lalu menjadi paradigma. Yang benar pada pandangan agama dituduh dengan pelbagai label negatif. Lalu, tersenyumlah si al-Masih ad-Dajjal. Fitnahnya semakin menjadi. Fitnahnya semakin tersebar. Memang dia pengeliru hebat akhir zaman.

(Baca cara mengelakkan fitnah al-Masih ad-Dajjal di sini)

Mana rancangan televisyen yang apabila barat mengadakannya, televisyen kita tidak mengikutnya? Hampir semua program rancangan televisyen yang dicipta Yahudi dan Nasrani ditiru lalu dicorakkan dengan versi tempatan. Dari rancangan berita, dokumentari, hiburan, kanak-kanak dan terkini program-program rancangan realiti memenuhi menu hidangan mata dan minda masyarakat kita.

Ya, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta telah kita tiru mereka. Kini ramai sudah berada hampir dengan lubang sempit yang kotor, malah ada yang sudah bergelumang di dalamnya!!! Na`udzu billahi min dzalik!

Apabila manusia berkiblatkan Yahudi & Nasrani...

Si Iblis dan si Dajjal tidak akan berpuas hati selagi semuanya belum mereka tarik. Lalu diusaha dan dihias pula berbagai-bagai program yang tidak jelas akan kesesatannya agar lebih ramai turut serta sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta rapat kepada mereka. Maka lahirlah program-program realiti, karnival-karnival, pesta-pesta, sambutan tahun baru dan lain-lain seumpamanya yang dihiaskan serta disulam dengan unsur-unsur agama.

Cuba fikir sejenak. Perlukah kita ummat ISLAM akan program-program seperti ini pada peringkat awalnya? Perlukah kita ambil nilai-nilai mereka, sedangkan nilai-nilai yang ditinggalkan Nabi sallAllahu `alaihi wasallam belum kita ambil sepenuhnya lagi?

Walaupun tidak dinafikan mungkin program-program ini bermanfaat dalam memberikan alternatif kepada program yang lebih merosakkan, namun saya secara peribadi tidak akan mengizinkan orang-orang yang saya sayangi menyertai program-program sebegini. Saya sarankan juga para pembaca menjauhinya sama. Terutama dari terlibat dengan penganjurannya. Kerana semakin kita bertoleransi dengan cara dan corak yang diperkenalkan oleh orang bukan Islam, semakin dekatlah kita dengan mereka dan semakin terdoronglah kita untuk terjerlus ke lubang busuk kemurkaan ALLAH.

Untuk selamat dari ini semua, kita semua mestilah letakkan nilai taqwa di dalam diri. Jangan terlalu mudah dan sembrono berjalan di atas jalan kehidupan ini. Ubay bin Ka`ab radhiAllahu anhu pernah mengumpamakan taqwa seperti berjalan di suatu lapangan yang penuh duri. Sebagaimana kita berjalan di lapangan yang penuh duri dengan penuh berhati-hati, begitu jugalah kita berjalan di atas dunia ini. Mesti berhati-hati dan tidak terlalu selamba serta lalai tatkala berjalan di atasnya. Takut nanti tercucuk duri dosa.

Nabi sallAllahu `alaihi wasallam pernah mengingatkan tentang peri pentingnya mengikat diri dengan sunnah dan jangan lari darinya bagi terselamat dari ranjau kehidupan yang banyak dugaan, yang maksudnya:

“Sesungguhnya sesiapa yang hidup selepasku akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kalian berpegang kepada sunnahku dan sunnah al-Khulafa al-Rasyidin al-Mahdiyyin (mendapat petunjuk). Berpeganglah dengannya dan gigitlah ia dengan geraham.” (HR Abu Daud)

Ummat ISLAM mesti ada jati diri yang kuat dan tersendiri. Masalah hari ini ialah ummat ISLAM tidak kenal Nabi sallAllahu `alaihi wasallam dan jauh dari mengamalkan sunnah-sunnah Baginda. Sebab itulah kekosongan itu telah diisi oleh bermacam-macam corak dan warna yang bukan dari Nabi dengan Syaitan berperanan utama di sebaliknya.

Sunnah-sunnah Nabi sallAllahu `alaihi wasallam lah sepatutnya kita pegang sungguh-sungguh dan bersabar dengannya walaupun terpaksa berhadapan dengan situasi yang sangat mencabar di akhir zaman ini. Dengan berpegang kuat dengannya, insyaALLAH kita akan terselamat dari terperosok masuk ke dalam lubang dosa. Malah kita tidak akan mendekati sehasta malah sejengkal pun dengan cara orang-orang berdosa disebabkan jiwa kita sudah penuh dengan sunnah Nabi sallAllahu `alaihi wasallam dengan izin ALLAH.

ISLAM itu tinggi, dan tiada yang lebih tinggi dari ISLAM. Tidak perlu kita terikut-ikut dengan cara orang bukan ISLAM. Berlepas dirilah dari terlibat dengan cara selain cara Nabi sallAllahu `alaihi wasallam dan para sahabatnya.

ALLAHU A`LAM.

TABARRUJ


"Firman Allah, “Dan hendaklah kalian tetap di rumah kalian dan janganlah kalian bertabarruj seperti orang-orang jahiliyah yang dahulu”. (Al-Ahzaab ayat 33)

Dari Abdullah bin ‘Amr, “Umaimah bintu Ruqaiqah berjumpa Rasulullah saw. untuk berbaiat kepadanya untu masuk islam, maka Nabi saw. berkata, "Aku membaiatmu untuk tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu pun, tidak mencuri, tidak berzina, tidak membunuh anakmu, tidak membuat-buat kedustaan yang kamu kerjakan dengan kedua tangan dan kakimu, tidak meratap dan tidak tabarruj seperti dilakukan wanita jahiliyyah”. (HR. Ahmad)

Ibn Katsir mengatakan, tabarruj ialah wanita yang meletakkan selendang atas kepalanya dan tidak mengikatnya sehingga boleh dilihat leher dan perhiasannya termasuklah rantai di lehernya.

Ibn Manzur mengatakan tabarruj ialah apabila seorang wanita menampakkan perhiasan serta kecantikannya kepada lelaki bukan mahram.

Abu Ubaidah berpendapat tabarruj bermaksud seorang wanita menampakkan kecantikannya yang boleh membuatkan orang lelaki ghairah.

Tabarruj ialah wanita yang bersolek atau menampakkan perhiasaan dan kecantikannya atau memakai wangian, yang mampu menarik perhatian lelaki bukan mahram.

Nabi saw. bersabda, “Wanita yang berhias bukan untuk suaminya adalah bagaikan kegelapan pada hari kiamat, tidak ada cahaya baginya.” (HR. Abu Daud)

TUTUPLAH AURAT


"Nabi saw. bersabda, “Wahai anakku Fatimah! Ada pun perempuan-perempuan yang akan digantung rambutnya hingga mendidih otaknya di dalam neraka adalah mereka yang tidak mahu menutup rambutnya daripada dilihat oleh lelaki yang bukan mahramnya”. (HR Bukhari dan Muslim)

Nabi saw. bersabda, "Ada dua golongan penduduk neraka yang keduanya belum pernah aku lihat: (1) Kaum yang memiliki cambuk seperti ekor lembu yang digunakan untuk memukul manusia (penguasa yang zalim).

(2) Wanita-wanita yang berpakaian tetapi telanjang (tidak menutup aurat), berjalan dengan berlenggok-lenggok, mudah dirayu atau suka merayu, rambut mereka bagaikan punuk unta. Wanita-wanita tersebut tidak akan dapat masuk syurga, bahkan tidak akan dapat mencium bau syurga. Pada hal bau syurga itu dapat dicium dari jarak yang sangat jauh.” (HR Muslim)

Menutup aurat adalah perintah Allah.

Tidak menutup aurat dengan sempurna adalah berdosa dan merupakan suatu maksiat yang akan dibalas dengan siksaan yang pedih di akhirat kelak jika tidak sempat bertaubat.

Bertaubatlah sebelum terlambat.

Free Download : 114 Surah bacaan Al Quran dengan bacaan penterjemah


"Free Download : Complete 114 surah bacaan Al Quran.

Qari Misyari Rashid Al Afasy terus dengan penterjemah tiap2 ayat.

Rujuk terjemahan bertulis untuk semak sama atau tidak. Saya dah semak dan kesamaannya tiada percanggahan. Kalau ada kita report pada admin mintak dia adjust balik. Cuba mula dengan surah Al Fatihah untuk test :

AlFaatihah



http://ia700301.us.archive.org/2/ite...2AlBaqarah.mp3

http://ia700301.us.archive.org/2/ite...03AliImran.mp3

http://ia700301.us.archive.org/2/ite...004AnNisaa.mp3

http://ia700301.us.archive.org/2/ite...5AlMaaidah.mp3

Seterusnya boleh download terus di sini :

http://ia700301.us.archive.org/2/ite...aninindonesia/

Cara-cara download :

1) Click link di atas, nanti keluar player. Right click pada timeline seeker dan click Save As. Default format : Mp3
(Penterjemah dari Indonesia tapi suku kata jelas sebab bahasa baku)

Boleh save dalam pc, burn dalam CD, or letak dalam USB and dengar dalam kereta, sambil2 surfing berforum, or sambil buat2 kerja.. kita dengar dan hayati sama2..

Adalah menjadi satu kerugian jika kita telah hidup selama ini tetapi tidak menghayati kalam-kalam Allah di dalam Al Quran itu.

Sesungguhnya Al Quran itu peringatan buat kita semua. Beriman kepada kitab adalah salah satu dari rukun Iman.

Makluman :

Kalau pakai Firefox memang takleh save as mp3. Kene pakai Google Chrome baru boleh.

Monday, January 16, 2012

Kenapa Umat Islam Wajib Mengundi Dalam Pilihanraya ?


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Islam adalah agama yang secara tabienya sesuai dengan tabiat di dunia dan penghidupan manusia bagi menjamin kebahagiaan di akhirat.

Firman Allah SWT maksudnya : “Maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikutmu wahai Muhammad) ke arah agama yang jauh daripada kesesatan (mengikut agama Allah), iaitu agama yang Allah ciptakan manusia (dalam keadaan semula jadinya) untuk menerimanya; tidak patut ada sebarang perubahan kepada ciptaan Allah itu; itulah agama yang betul, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” (Surah ar-Rum, ayat 30)

Ini memberi isyarat bahawa agama Islam amat sesuai dengan fitrah manusia. Hukum-hukumnya rasional, mudah diterima akal dan rasional.

Demikian juga terdapat hadis-hadis sahih yang lain memerintah supaya taat kepada ketua negara dan wajib memilih ketua negara.

Menegakkan pemerintahan Islam itu adalah wajib, maka seluruh umat berkewajipan melakukan taat kepada Imam yang adil yang menegakkan ke atas mereka hukum hakam Allah, yang mentadbir dan memerintah mereka dengan syariat Allah yang dibawa oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Golongan Ahlul Sunnah dan jumhur ulama berpendapat bahawa ketua negara hendaklah dipilih secara pilihan raya. Pada pendapat mereka pemilihan khalifah merupakan ikatan kontrak di antara khalifah dan umat. Justeru itu, istilah yang dipakai dalam kontrak ini dinamakan “Bai‘ah”.

Berdasarkan hal ini, kedaulatan Khalifah adalah didapati daripada umat, umat merupakan sumber kekuasaan yang sebenar dan ikatan di antara umat dengan ketua negara adalah ikatan sosial. Justeru itu, Dr Yusof Al Qardhawi menyatakan bahawa sistem pilihan raya pada pandangan Islam adalah suatu kesaksian terhadap keletakan seseorang calon yang bakal dan akan dipilih.

Atas dasar sedemikian maka, adalah menjadi kewajipan kepada seseorang warga muslim untuk mengundi agar calon yang amanah (al amin) dan punyai sifat kuat (al qawi) mencapai kemenangan. Firman Allah SWT dalam surah Al Baqarah ayat 282 yang bermaksud “Dan janganlah saksi-saksi itu enggan apabila dipanggil menjadi saksi”.

Pemilihan ketua negara Islam mengikut proses pilihan raya tidak selamanya berlaku. Ini disebabkan terdapat khalifah menyerahkan kuasanya kepada penggantinya sebelum dia meninggal. Sebilangan besar kalangan fuqaha’ menerimanya sebagai sah.

Imam Al Mawardi ada menjelaskan tentang hal ini dengan katanya, “Adapun menyerah kuasa Imamah kepada orang tertentu yang dipilihnya, mengikut ijmak adalah sah kerana ada dua alasan; pertama Abu Bakr menyerahkan kuasa kepada Umar dan umat Islam menerima penyerahan itu sebagai sah.

Oleh kerana itu, kita umat Islam perlu terima hakikat, Islam adalah agama yang sempurna, termasuk cara berpolitik, memerintah cara Islam. Jika kita menolak pegangan ini dan memilih yang lain, ia bermakna menolak ketetapan Allah dan merendah-rendahkan agama, seolah-olahnya cara hidup ciptaan manusia, lebih sempurna dari ciptaan Allah.

Merendah-rendahkan agama Allah boleh menyebabkan kerosakan akidah.
Oleh itu maka pemilihan untuk mengundi dan memberi sokongan kepada kepimpinan Islam dan berjuang untuknya mesti dibuat berasaskan keputusan yang betul, bukan semata-mata terpengaruh dengan arus masyarakat.

Jangan sesekali menyokong sesebuah parti yang perjuangannya berbentuk asabiyah yang mendorong hanya kepada kesenangan dunia, lebih-lebih lagi jika perjuangan itu menjadi penentang kepada perjuangan Islam dan menolak hukum hudud.

Sahabat yang dimuliakan,
Sayugia diingatkan bahawa menegakkan pemerintahan Islam di Malaysia memerlukan kepada proses mendapat suara majoriti di dalam dewan rakyat atau dewan negeri. Untuk mendapat suara majoriti di dewan rakyat atau dewan undangan negeri mestilah memenangi kerusi terbanyak di dalam dewan-dewan tersebut.

Untuk memenangi kerusi-kerusi yang dipertandingkan di dalam pilihanraya mestilah mempunyai pengundi yang ramai (majority). Undi yang serupa itu tidak akan diperolehi kecuali para pencinta Islam layak menjadi pengundi.

Mereka tidak akan layak mengundi (mengikut peraturan yang ada) kecuali mereka didaftarkan sebagai pemilih. Oleh kerana itu dan berdasarkan kaedah fiqh:

“Sesuatu yang wajib tidak sempurna melainkan dengannya maka ia menjadi wajib”.

Maka dengan itu mendaftarkan diri sebagai pengundi di dalam negara Malaysia ini adalah menjadi wajib mengikut hukum syarak.

Semua mengetahui bahawa melaksanakan hukum syarak itu adalah wajib. Ia tidak boleh dilaksanakan kecuali wujudnya kerajaan Islam. Maka mewujudkan kerajaan Islam adalah wajib.

Dalam konteks Malaysia hari ini, proses menegakkan kerajaan Islam dibenarkan oleh undang-undang adalah melalui pilihanraya, maka menyertai pilihanraya untuk tujuan tersebut adalah wajib. Seseorang itu tidak mengundi di dalam pilihanraya kecuali dia adalah seorang yang layak dan berdaftar sebagai pemilih secara sah. Maka mendaftarkan diri sebagai pemilih adalah wajib.

“Sesuatu yang wajib tidak sempurna melainkan dengannya akan ia menjadi wajib”.

Sahabat yang dihormati,
Pemerintahan adalah urusan yang paling besar umat Islam. Suatu perkara yang tidak boleh dipandang remeh dan enteng.

Kata Ibnu Taimiyah:
"Wajib diketahui bahawa urusan kekuasan manusia adalah kewajipan agama yang paling besar, malahan tidak dapat tertegak agama melainkan dengannya. Maka sesungguhnya anak Adam itu tidak akan sempurna maslahatnya kecuali dengan bermasyarakat kerana sebahagian memerlukan sebahagian yang lain. Ketika bermasyarakat itu, tidak boleh tidak mestilah mempunyai ketua. Sehingga Nabi SAW telah bersabda: "Apabila kamu keluar tiga orang bermusafir, kamu lantiklah salah seorang sebagai ketua." (Hadis Riwayat Abu Daud dari Hadis Abu Sa’id dan Abu Hurairah).

Manakala Imam al-Ghazali berkata: "Agama itu sendi. Penguasa itu pengawal. Sesuatu yang tidak bersendi akan hancur dan sesuatu yang tidak ada pengawal akan sia-sia."

Amat dikesalkan sekali kerana masih ramai umat Islam di negara kita yang masih keliru dengan persoalan menegakkan negara Islam. Sebahagiannya masih berfikir ia hanyalah soal-soal dunia yang tidak ada kena mengena dengan kehidupan beragama mereka. Sebahagiannya enggan turun mengundi kerana katanya `tidak sunnah'. Sebahagian yang lain, pergi mengundi tetapi masih tidak dapat melakukan pilihan yang tepat siapakah yang layak dipilih untuk dijadikan pemimpin menguruskan permasalahan umat Islam.

Para ulamak dan umat Islam yang insaf akan perkara ini perlu bekerja lebih kuat lagi untuk memberi kesedaran kepada umat Islam seluruhnya.

Jumhur ulamak Islam mengharamkan langkah kekerasan (spt. revolusi dsbnya) sekalipun terhadap pemerintah yang zalim dan fasiq. Kerana ia akan berakibat jauh lebih buruk dari sebelumnya. Jika berjaya tindakan itu, akan memakan korban, jika gagal, memang sudah semestinya lebih banyak korban lagi.

Terbabit dalam pilihanraya ala barat oleh parti Islam bukan bermakna mereka beriman dengan demokrasi secara total. Ia hanya digunakan sebagai wasilah untuk menegakkan negara Islam. Dan, ia bukannya satu-satu wasilah ke arah itu, namun dalam keadaan umat Islam dihimpit dari seluruh pihak oleh sistem sekular, maka terbabit dalam pilihanraya adalah antara jalan yang terbaik. Adalah menjadi kewajipan kepada umat Islam Malaysia khususnya untuk memberikan dokongan kepada parti Islam. Paling lekehpun, `lebih baik daripada mendokong parti sekular..’ (Hukumnya telahpun dibahas oleh para ulama kini termasuk al-Qardhawi)

Pada zaman ini, sebuah parti Islam tidaklah bergerak hanya semata-mata sebagai sebuah parti politik sahaja. Bahkan ia mestilah bergerak sebagai sebuah harakah Islamiyah. Jika hanya semata-mata sebuah parti politik sahaja (lebih-lebih lagi jika pembangkang), maka tumpuannya hanyalah lima tahun sekali pilihanraya. Aspek-aspek lain diabaikan, seperti pendidikan, tarbiyah, ekonomi, dakwah, kebajikan umat dan lain-lain lagi.

Tidak selamanya parti Islam dibenarkan untuk menyertai pilihanraya oleh rejim yang berkuasa. Adakalanya ia disekat. Dan, apakah ketika itu sudah terhenti segala usaha dan harapan untuk menegakkan negara Islam? Sudah tentu tidak, kerana kerja pendaulatan syariah Islam adalah satu usaha yang mesti berjalan secara berterusan, sesuai dengan semangat amar makruf nahi munkar. Terlalu banyak lagi usaha-usaha dan kerja-kerja yang perlu dilaksanakan (walaupun ia bukan yang terbaik). Jika pilihanraya dihalang, maka itu bermakna salah satu dari wasilah telah hilang, bukan segala-galanya telah hilang. Harakah Islamiah tetap berfungi memikul tanggungjawab dakwah dan tarbiah.

Contoh lain, jika setiap kali pilihanraya yang dijalankan secara tidak adil dan terdapat unsur-unsur penipuan, para ulama ketika itu bolehlah berijtihad untuk menentukan apakah perlu terbabit dalam pilihanraya? Masalah ini bukan melibatkan soal halal dan haram, tetapi masalah yang baik dan yang terbaik. Apabila ulama mengeluarkan kenyataan tertentu, umat Islam wajar mematuhinya.

Sahabat yang dikasihi,
Di dalam masyarakat Islam terdapat beberapa kumpulan serpihan yang mengatakan menggundi dan memasuki pilihan raya adalah haram dan mereka yang melakukan adalah meredai Yahudi dan demokrasi ala barat, lantas mereka mengambil hujah-hujah daripada hadis-hadis dan sirah Nabi SAW untuk menyokong kefahaman mereka. Hakikat sebenarnya golongan ini sudah terkeliru di antara stratigi dan prinsip. Yang prinsip dianggap strategi dan yang strategi di anggap prinsip. Golongan ini boleh mendatangkan kekeliruan kepada umat Islam dan memberi saham yang besar kepada golongan sekular untuk meneruskan kekuasaan dalam pemerentahan kerana undi mereka tidak diberikan kepada pemimpin Islam. Mereka lebih reda melihat pemimpin yang jahil tentang Islam mentadbir negara. Mereka memerhatikan sahaja daripada jauh dan menganggap tindakkan mereka adalah benarkan oleh syarak.

Ulama-ulama muktabar dunia masa kini seperti Prof Yusof al-Qardawi memberi fatwa kewajipan umat Islam mengundi dan memilih pejuang Islam dan parti Islam supaya memenangi majoriti di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri supaya hukum-hukum Allah SWT dapat di daulatkan dan keadilan untuk semua rakyat dapat di berikan.

Sunday, January 15, 2012

HUKUM PENGGUNAAN WANG ZAKAT

1. Golongan yang berhak menerima harta zakat telah ditentukan Allah, ianya tidak diserahkan kepada pilihan manusia atau pemerintah semata-mata. Setiap yang telah ditentukan Syarak perlulah dilaksanakan sebagaimana dikehendaki Syarak. Ini menjadi amanah penting yang dipikul oleh individu atau institusi yang bertanggungjawab menguruskan harta zakat; memungut dan mengagihkannya.

Menjadi satu kaedah yang disepakati oleh para Fuqahak bahawa;

تَصَرُّفُ الإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوْطٌ بِالْمَصْلَحَةِ

“Tidak tanduk pemimpin dalam perkara yang berkait dengan rakyat terikat dengan maslahah (untuk rakyat)”

(al-Asybah wa an-Nazair, Imam as-Suyuti).

Mengulas kaedah ini, Imam Ibnu Nujaim berkata;

إذا كان فعل الإمام مبنيا على المصلحة فيما يتعلق بالأمور العامة لم ينفذ أمره شرعا إلا إذا وافقه،
فإن خالفه لم ينفذ

“Oleh kerana perlakuan/tindakan pemimpin bagi urusan-urusan awam mesti terbina di atas maslahah, tidak dilaksanakan arahannya –dari segi Syarak- melainkan jika arahan itu menepati maslahah. Maka jika ia menyalahai maslahah, tidak harus dilaksanakan”

(al-Asybah wa an-Nazair, Imam Ibnu Nujaim, halaman 138).

2. Khusus bagi pengurusan kewangan, Saidina ‘Umar pernah menegaskan;

إني أنزلت نفسي من مال الله تعالى بمنزلة ولي اليتيم.

“Sesungguhnya aku meletakkan diriku dalam pengurusan harta Allah sama seperti kedudukan penjaga harta anak yatim”.

Penjaga harta anak yatim adalah adalah pemegang amanah. Tidak harus ia membelanjakan harta itu sewenang-wenang seolah-olah harta itu miliknya, sebaliknya ia hendaklah menguruskan harta itu bagi pihak orang lain dengan penuh kejujuran agar ancaman Allah dalam ayat berikut tidak berlaku ke atasnya;

إِنَّ الَّذِينَ يَأْكُلُونَ أَمْوَالَ الْيَتَامَى ظُلْماً إِنَّمَا يَأْكُلُونَ فِي
بُطُونِهِمْ نَاراً وَسَيَصْلَوْنَ سَعِيراً

(Surah an-Nisa’, ayat 10)

Menyentuh tentang pengurusan harta zakat, Imam an-Nawawi menegaskan; “Adalah dituntut ke atas pemerintah dan individu yang ditugaskan memungut zakat apabila diserahkan kepadanya urusan pengagihan harta zakat untuk memberi perhatian kepada memastikan dengan tepat orang-orang yang berhak terhadap harta tersebut, mengetahui bilangan mereka, kadar keperluan mereka dan kadar hak mereka”

(al-Majmu’, kitab az-Zakah, bab Qism as-Sadaqaat, 6/188).

3. Golongan yang berhak menerima zakat

Allah telah menghadkan orang-orang yang berhak menerima harta zakat kepada lapan golongan;

1. Untuk golongan fakir
2. Untuk golongan miskin
3. Untuk golongan muallaf yang hendak dijinakkan hatinya dengan agama
4. Untuk ‘amil-amil yang dilantik menguruskan zakat
5. Untuk hamba-hamba yang ingin memerdekakan dirinya
6. Untuk orang-orang yang dibelenggu oleh hutang
7. Untuk dibelanjakan bagi kemaslahan agama Allah (Fi Sabilillah)
8. Untuk orang-orang musafir yang terputus bekalan.

إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّهِ وَاِبْنِ السَّبِيلِ فَرِيضَةً مِنَ اللَّهِ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ

“Sesungguhnya sedekah-sedekah (yakni zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang menguruskannya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hokum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”.

(at-Taubah: 60)

4. Oleh kerana orang-orang yang berhak menerima zakat telah ditetapkan oleh Allah, tidak boleh sewenang-wenangnya kita harta zakat digunakan kecuali kepada kepada aspek-aspek yang ditentukan Syarak. Para ulamak menegaskan; Jika seorang telah tersalah memberikan zakatnya di mana ia membayar zakatnya kepada orang yang tidak layak menerima harta zakat, maka zakatnya tidak sah dan wajib diulangi.

(al-Fiqhul Wadhih, jil. 1, hlm. 514).

Kerana itu, amat penting diperhatikan kepada siapa kita salurkan zakat kita?

5. Pengertian Sabilillah

Jumhur ulamak terdahulu (termasuk ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie) mengkhususkan Fi Sabilillah hanya kepada tentera-tentera Islam yang berperang di jalan Allah. Ini sebagaimana ditegaskan oleh Imam as-Syirazi dalam al-Muhazzab;

“Bahagian Fi Sabilillah diberikan kepada tentera-tentera yang berperang secara bersunguh-sungguh jika mereka tidak diberi gaji. Adapun tentera-tentera yang dibayar gaji oleh pemerintah, maka mereka tidak diberikan zakat kerana rezki dan keperluan mereka ditanggung oleh harta Negara (al-Fai’)”

(al-Muhazzab, Kitab az-Zakah).

6. Berkata Imam Nawawi ketika mensyarahkannya;

“Mengikut mazhab kami (yakni mazhab Syafi’ie), habuan fi Sabilillah yang disebut dalam ayat ialah dibelanjakan kepada tentera-tentera yang tidak diperuntukkan bagi mereka harta dari jabatan kerajaan di mana mereka berperang secara sukarela. Perdapat yang sama diutarakan oleh Abu Hanifah dan Malik”

(al-Majmu’, Imam an-Nawawi).

7. Namun terdapat para ulamak yang memperluaskan pengertian Fi Sabilillah ini kepada semua aktiviti dan usaha untuk kemaslahan Islam dan umat Islam. Di antara mereka, Imam al-Kasani yang menyebutkan dalam kitabnya yang terkenal (بدائع الصنائع):

Adapun firman Allah (وَفِي سَبِيلِ اللَّه): ia adalah ungkapan bagi semua usaha yang mendekatkan diri kepada Allah. Maka termasuk di dalamnya semua orang yang berusaha melaksanakan ketaatan kepada Allah dan berusaha di jalan kebaikan jika ia seorang yang memerlukan (harta zakat)”.

8. Menurut Imam Fakhruddin ar-Razi; Imam al-Qaffal telah menaqalkan dalam tafsirnya dari beberapa Fuqaha’ yang mengharuskan dibelanjakan zakat untuk semua bentuk kebaikan/kebajikan seperti membina benteng-benteng pertahanan, membangunkan masjid dan sebagainya kerana ungkapan Allah (وَفِي سَبِيلِ اللَّه) itu adalah umum”.

(Tafsir ar-Razi: 16/113, Lihat Fiqh az-Zakat, Dr. Yusuf al-Qaradhawi, jil. 2, hlm. 689).

9. Apa yang jelas dari kalimah yang digunakan Allah “Fi Sabilillah”, penggunaan harta zakat bagi tujuan ini hendaklah yang ada kaitan dengan agama dan ummah, bukan semata-mata kepentingan bersifat individu. Ini sebagaimana disentuh oleh Syeikh Rasyid Ridha dalam tafsirnya al-Manar; “Setelah dibuat kajian jelaslah bahawa yang dimaksudkan dengan Fi Sabilillah di sini ialah segala urusan kepentingan umum kaum muslimin yang dengannya tertegak urusan agama dan Negara. Ia bukan urusan kepentingan individu….”.

(Fiqhu az-Zakah, jil. 2, hlm. 692).

10. Ditegaskan juga oleh Syeikh Abdurraziq Nasir Muhammad (salah seorang ulamak al-Azhar, Mesir) dalam buku Fiqh Zakatnya; “Maksud kalimah Sabilillah ialah maslahah-maslahah umum yang melata manfaatnya kepada sekelian kaum muslimin, bukan yang khusus kepada individu tertentu sahaja”

(Fiqh az-Zakah Fi al-Mal wa al-Badan, halaman 139)