"Dan katakanlah: Beramallah kamu, maka Allah dan RasulNya serta orang-orang beriman akan melihat amalan kamu itu dan kamu akan dikembalikan kepada Tuhan Yang Mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu diceritakannya kepada kamu apa yang telah dikerjakan"(At-Taubah:105)

Sunday, November 27, 2011

BUAT RENUNGAN.........


❤ Jangan kau sangka kawanmu yang sering menegurmu itu adalah orang yang paling bertaqwa
❤ Jangan kau fikir kawanmu yang sering menasihatimu itu adalah manusia yang tak diuji
❤ Jangan kau ingat kawanmu yang tegas beragama itu adalah manusia yang paling sempurna

Hakikatnya ..~

❤ Dia menegurmu untuk mengingatkan dirinya juga
❤ Dia menasihatimu untuk dirinya turut berjaga-jaga
❤ Dan dia bertegas dalam perkara agama kerana risaukan bahang api neraka
❤ Kawanmu itu bukanlah MALAIKAT
❤ Dia juga MANUSIA
❤ Bersangka baiklah , dia sebenarnya mahu memimpinmu masuk ke syurga bersama-sama (✿◠‿◠)

Wi-fi Percuma di Selangor Mulai Tahun Depan


JOHOR BAHRU, 27 NOVEMBER: Langkah Kerajaan Selangor memperkenalkan Program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) perlu diteruskan dalam bentuk menyemarakkan penyampaian informasi dengan memperkenalkan Agenda Masyarakat Berinformasi, Negara Demokratik.

Pembahas Selangor yang juga Adun Rawang, Gan Pei Nei mencadangkan agar pimpinan negeri yang diketuai oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdu Khalid Ibrahim merangka strategi informasi ini sebagai langkah penerangan kepada masyarakat yang lebih konprehensif.

“Agenda ini membawa misi untuk mewujudkan masyarakat yang demokratik, bebas, dengan menyalurkan ilmu, berita dan informasi yang berdasarkan fakta dan kebenaran, bukannya politik fitnah yang telah menjadi budaya Umno-BN,” katanya.

Setakat ini, kerajaan negeri Selangor menyampaikan segala informasi mengenai program kepada rakyat melalui portal TV Selangor dan akhbar Selangor Kini serta Selangor Times.

Selain itu, beliau berkata kerajaan Selangor akan menyediakan perkhidmatan Wi-fi dan Broadband di seluruh negeri pada tahun hadapan yang merangkumi kawasan bandar dan luar bandar secara percuma.

Katanya tujuan penyediaan mekanisma perhubungan ini akan membukaan minda rakyat dengan informasi yang benar memberikan ruang kepada semua pihak mengemukakan idea baru dan tidak terkongkong dengan propaganda Umno- BN, ujar beliau lagi.

“Kerajaan Selangor juga harus memberikan komputer percuma kepada golongan belia dan memberikan kursus dalam bidang ini untuk menguasai informasi dan teknologi terkini dalam dan luar negara,” katanya.

Di bawah cadangan ini, semua pihak termasuk pimpinan negeri dan masyarakat perlu membuat satu perbincangan dan dialog terbuka setiap minggu bermula tahun hadapan diseluruh 56 Dun Selangor agar maklum balas dan suara hati rakyat dapat di dengar dan dasar kerajaan dapat diperjelaskan.
Oleh: Buletin Pakatan Rakyat

Saturday, November 26, 2011

Perutusan Hijratur-Rasul Al-Mursyidul Am PAS Sempena Tahun 1433 Hijrah


وَسَعَةً وَمَنْ يَخْرُجْ مِنْ بَيْتِهِ مُهَاجِرًا إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ يُدْرِكْهُ الْمَوْتُ فَقَدْ وَقَعَ أَجْرُه عَلَى اللَّهِ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا

“Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
– Surah al-Nisa’ ayat 100

Alhamdulillah, setinggi-tinggi pujian dan kesykuran kita panjatkan ke hadrat Allah SWT kerana taufik dan inayahNya, kita masih diberikan peluang untuk terus hidup melangkah ke tahun baru 1433 Hijrah pada saat ini. Semoga dengan pertambahan umur yang dikurniakan oleh Allah SWT ini memberikan kita ruang untuk terus menambahkan ibadat dan memperkasakan perjuangan untuk menegakkan kalimah Allah SWT.

Sesungguhnya, menyambut ulang tahun Hijratur-Rasul ini bukanlah satu perayaan suka-suka. Ia bukanlah satu sambutan tahunan semata-mata tanpa sebarang sebab dan juga akan berlalu begitu sahaja untuk menunggu sambutan pada tahun hadapan. Sambutan Hijratur-Rasul ini sebagai menghayati makna dan pengertian peristiwa Hijrah Nabi Muhammad SAW dan para muhajirin dari Kota Makkah ke Kota Madinah yang kemudiannya dikira sebagai tahun pertama Hijrah. Hakikatnya, Hijrah Rasulullah s.a.w tidak berlaku pada awal tahun dan tidak berlaku pada bulan Muharram. Sebaliknya, Rasulullah s.a.w mula keluar dari kota Mekkah pada akhir bulan Safar, bulan yang kedua dalam kalendar Islam. Baginda keluar dari Mekkah bersama-sama dengan sahabat baginda yang paling setia Saidina Abu Bakar As-Siddiq r.a setelah mendapat perintah dari Allah s.w.t agar bersama-sama dengan umat Islam di kota Madinah. Rasulullah s.a.w tiba di kota Madinah dan mula menetap di sana pada hari Jumaat, 12 Rabiul Awal. Sekalipun hijrah tidak berlaku di bulan Muharram, namun detik peristiwa tersebut ia dipilih sebagai tahun yang pertama dalam kalendar Islam sewaktu proses penetapan calendar Islam pada zaman Saidina Umar bin al-Khattab RA. Kenapakah Saidina Umar bin Al-Khattab dan para sahabat pada masa itu tidak memilih peristiwa lain seperti peristiwa kelahiran Rasulullah SAW, peristiwa pembukaan Kota Makkah atau Haji Wada’? Jawabnya ialah kerana peristiwa hijrah itulah yang mencetuskan fenomena dan momentum terbesar di dalam sejarah perjuangan Rasulullah SAW. Momentum tersebut ialah pembentukan sebuah negara Islam yang pertama dan perpindahan era dakwah secara rahsia kepada era dakwah secara bernegara.

Pembentukan negara itulah yang menjadi matlamat kepada penghijrahan Rasulullah SAW ke Madinah. Jika tidak kerana membentuk negara, tidak perlu lagi berlakunya hijrah Rasulullah SAW. Oleh yang demikian, amatlah salah sama sekali tanggapan yang menyatakan bahawa bernegara merupakan satu perkara yang tidak wujud di dalam Islam, apatah lagi menidakkan kewujudan syariat Islam dalam aspek bernegara. Sebagaimana umat Islam diwajibkan untuk mengerjakak solat lima kali sehari, berpuasa selama sebulan dalam satu tahun dan mengerjakan haji sekali sepanjang hidup, demikianlah juga diperintahkan agar bernegara dan melaksanakan undang-undang menurut syariat yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Kita tidak rela jika pembangunan fizikal pesat berlaku namun dalam masa yang sama kita menyaksikan runtuhnya nilai-nilai agama dan jauhnya manusia daripada Allah SWT. Alangkah ruginya hidup manusia jika hanya mendapat kemegahan, kemewahan dan kekayaan di dunia semata-mata namun di akhirat dilemparkan Allah SWT ke tempat yang buruk iaitu neraka hanya kerana enggan tunduk patuh kepada Allah SWT. Justeru, PAS mendidik rakyat agar kenal batasan iman dan kufur, batasan syurga dan neraka serta batasan pahala dan dosa, agar tidak berlaku penolakan terhadap mana-mana perintah Allah SWT. Ini kerana iman sifatnya ialah syumul. Menolak satu cabang iman bererti menolak keseluruhan iman itu sendiri.

Dari aspek yang lain, hijrah juga mengajar umat Islam agar berstrategi dalam apa jua langkah dan gerak kerja. Bagaimana kita melihat Rasulullah SAW mengatur strategi yang cukup teratur di dalam berhijrah, demikianlah juga wajib untuk kita mengatur strategi dan mempunyai perancangan yang tersusun di dalam memastikan gerak kerja yang dilakukan berkesan dan berjaya. Strategi Rasulullah SAW dapat dilihat apabila baginda datang ke rumah Saidina Abu Bakr as-Siddiq pada waktu siang hari iaitu waktu yang tidak akan dijangka dipilih untuk keluar dari Mekah. Baginda juga mengupah Abdullah bin Uraiqit yang masih musyrik menunjukkan jalan dan ini mengajar bagaimana harusnya bekerjasama dengan non muslim dalam urusan yang boleh mendatangkan faedah kepada Islam. Baginda juga memilih untuk berlindung di dalam Gua Thur yang bukannya terletak di pertengahan jalan menuju ke Madinah dengan tujuan untuk mengelirukan kaum musyrikin. Nyata sekali semua strategi yang diatur oleh baginda Rasulullah SAW ini berjaya mengeluarkan baginda dari kota Makkah dan menuju ke Madinah dengan selamat. Justeru, apabila kita menyambut peristiwa Hijratur Rasul pada hari ini, kita sebenarnya menyambut peristiwa fatonah atau kecerdikan baginda.

Pada zaman kita hari ini, pengurusan hidup hendaklah bersendikan fatonah yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Fatonah ini pula hendaklah disertakan dengan amanah. Fatonah tanpa amanah akan melahirkan generasi yang punah iaitu generasi yang cerdik tetapi jauh dari Allah SWT. Hari ini, kita melihat setiap hari didedahkan pelbagai skandal dalam pengurusan wang samada di peringkat pemimpin maupun di peringkat pegawai. Laporan demi laporan audit yang dibentangkan menyaksikan pelbagai ketirisan yang berlaku sehingga mengakibatkan kerugian puluhan juta ringgit wang rakyat. Ketirisan ini jika diselamatkan nyata sekali dapat memberikan manfaat yang lebih besar kepada rakyat jelata. Kenapakah perkara ini boleh berlaku sedangkan kita mempunyai pelbagai undang-undang pencegahan rasuah dan penyelewengan? Tidak lain melainkan hanyalah kerana manusia tidak mampu dikawal oleh undang-undang manusia. Yang mampu memagari manusia dari melakukan perbuatan khianat hanyalah taqwanya kepada Allah SWT. Inilah misi PAS di dalam gerak kerja politik. Kita berjuang melalui pilihanraya untuk mendapatkan kuasa dan untuk membangunkan roh dan jiwa rakyat agar sentiasa bertaqwa kepada Allah SWT. Di Kelantan, kita menguatkuasakan larangan pembukaan premis judi, larangan penjualan arak secara terbuka, memindahkan wang kerajaan ke perbankan Islam serta memperbanyakkan skim-skim kebajikan seperti takaful kifalah, skim armalah, skim al-it’am dan sebagainya semuanya bertujuan untuk memberikan kebaikan kepada rakyat dari sudut duniawi dan ukhrawi.

Hijrah juga mengajar kita menjadi optimis dalam perjuangan. Lihatlah bagaimana Rasulullah SAW menjanjikan kepada Suraqah bin Malik untuk dipakaikan dengan alat kebesaran raja Parsi sedangkan baginda sedang di dalam perjalanan menuju ke Madinah. Janji tersebut nyata sekali menjadi kenyataan selepas kewafatan baginda iaitu pada saat kejatuhan kerajaan Parsi pada zaman pemerintahan Saidina Umar bin al-Khattab RA. Oleh yang demikian, pada saat dunia kelam pekat diselubungi gelap sekular, yakinlah, jahiliyyah pasti akan tumbang, dan Islam pasti akan tertegak juga di bumi Allah SWT ini.

Insya-allah, fajar semakin menyinsing. Malam pasti berakhir. Kebangkitan yang berlaku di seluruh dunia lambat laun akan tiba juga di negara kita yang tercinta. Semoga keamanan terus dikekalkan dan semoga Islam dapat didaulatkan. Selamat berhijrah dan selamat berubah.

Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat,

Al-Mursyidul Am

Parti Islam Se-Malaysia (PAS)

Bertarikh: 28 Zulhijjah 1433H bersamaan 24 November 1433H

Keselamatan Negara Mesti Jadi Keutamaan


Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPP Malaysia) merasa kesal kerana kerajaan tidak bersungguh-sungguh dalam menjalankan operasi membanteras sindiket pemberian kad pengenalan kepada warga asing menyebabkan berlaku lagi kes tangkapan terhadap warga tersebut baru-baru ini. Lebih mendukacitakan, operasi penangkapan terbaru di Pusat Latihan KIWA, berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di buat oleh orang awam.

DPP Malaysia melihat isu pemberian kad pengenalan kepada warga asing merupakan suatu isu yang sangat besar kerana ia melibatkan kedaulatan negara kita. Kad pengenalan Malaysia adalah suatu dokumen paling penting terhadap rakyat, dan ia tidak boleh dikeluarkan sewenang-wenangnya. Ia perlu di kawal ketat melalui Jabatan Pendaftaran Negara yang bertanggungjawab terhadap setiap butiran peribadi rakyat.

DPP Malaysia merasa terkilan kerana pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) lambat menghidu kegiatan seumpama ini dan tidak bersungguh-sungguh menentangnya sehingga ia boleh berlaku dengan mudah. Sudah dua kali ia berlaku dan PDRM masih tidak boleh membanteras kes ini. DPP Malaysia percaya, kes ini sudah banyak kali berlaku di merata-rata tempat di negara ini termasuk di Sabah. Tangkapan ini hanya satu kes kecil daripada sejumlah kes besar yang dilaporkan berlaku.

DPP Malaysia mengesyaki adanya sindiket menggunakan individu tertentu yang berkuasa mengeluarkan kad pengenalan sesuka hati kepada sesiapa sahaja. Ia juga menunjukkan ada usaha terancang oleh pihak tertentu bagi tujuan pilihanraya umum. Dengan mendaftarkan warg asing sebagai rakyat Malaysia, membolehkan mereka mengundi dan seterusnya memenangkan ‘pihak tertentu’ yang amat terdesak untuk menang dalam PRU ke 13.

DPP Malaysia mendesak Menteri Dalam Negeri bertanggungjawab terhadap kes ini. Beliau perlu menjelaskan mengapa berlaku dua kali penangkapan namun tiada tindakan diambil. Selain beliau DPP Malaysia mendesak Ketua Polis Negara dan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara meletak jawatan kerana cuai dan gagal menjalankan tugas dengan baik.

DPP Malaysia mengingatkan kerajaan bahawa keselamatan negara dan rakyat perlu menjadi keutamaan. Jangan menggadai negara hanya untuk meraih undi dalam PRU ke 13, ‘ibarat menang sorak, kampung tergadai’. Rakyat Malaysia tidak boleh menerima warga asing menjadi warganegara ini dengan mudah serta menjadi pengundi yang seterusnya sebagai penentu kemenangan sesebuah kerajaan dalam PRU ke 13 nanti.

Disediakan oleh;

RIDUAN MOHD NOR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia

MENGEKALKAN AKHLAK YANG BAIK


Hadith :
Rasulullah(SAW) bersabda yang bermaksud:

”Bukankah aku telah memberitahu kamu semua tentang orang yang diHARAMkan MASUK ke NERAKA atau orang yang diHARAMkan ke atasnya NERAKA? MEREKA ialah ORANG YANG BERDAMPING RAPAT dengan ORANG RAMAI(BAIK PERGAULANNYA), HATINYA TENANG, BERLEMAH LEMBUT serta MUDAH DIBAWA BERUNDING.”

[Riwayat at-Tarmizi]

Huraian
1.Setiap Muslim hendaklah sentiasa beramal dengan ajaran Islam yang sebenar serta bergaul rapat dengan masyarakat dengan menggunakan budi bahasa yang lembut, selalu bertolak ansur, tolong menolong dan bantu membantu dan tidak melakukan perkara-perkara yang menimbulkan sakit hati orang lain dan mendatangkan dosa seperti berbuat khianat, merompak, menipu dan seumpamanya.

2.Tabiat manusia adalah berhubungan rapat dengan keteguhan iman dan kesabarannya. Jika baik akhlak seseorang itu maka dia akan selamat daripada balasan api neraka dan begitulah sebaliknya kerana baik buruknya seseorang terletak pada sejauhmana pandangan masyarakat umum terhadap dirinya selain daripada penilaian yang dihitung oleh ALLAH(SWT) sendiri.

AMBIL IKHTIBAR SEMPENA MAAL HIJRAH 1433 BUAT KITA SEMUA.

HIJRAH !


Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan Agama Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan Rahmat Allah. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (AlBaqarah; Ayat:218)

Ustaz Ismail Kamus Tokoh Maal Hijrah 1433 Negeri Selangor

doa akhir dan awal tahun

Thursday, November 24, 2011

Bil Perhimpunan Aman cetuskan demo di Parlimen


Ketika Dewan Rakyat bersiap sedia untuk perbahasan Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011, hari ini, beberapa kumpulan pejuang hak asasi mengadakan demonstrasi bagi membantah penggubalan akta baru itu.

Sambil menuntut hak perlembagaan dilindungi, aktivis hak sivil yang diketuai oleh NGO, Kempen Kebebasan Berhimpun (KKB) berkumpul di hadapan pintu pagar bangunan Parlimen.

Menghairankan, jumlah polis yang dikerahkan bagi mengawal perhimpunan itu adalah minimum.

"Kami mahu Parlimen tarik balik rang undang-undang yang zalim ini serta-merta kerana ia adalah tidak sah dan menindas.

"Walaupun sekali pandang, permit polis tidak lagi diperlukan, namun sebenarnya, ia mengenakan lebih banyak sekatan lebih tidak munasabah dan memperuntukan denda besar. Ini menjadikannya lebih buruk daripada peruntukan yang sedia ada di bawah Akta Polis," kata penyelaras Suaram, E Nalini.


Menurutnya lagi, rang undang-undang itu juga bukan setakat menyekat kebabasan awam tetapi juga menghina kebijaksanaan rakyat.

Perhimpunan itu turut disertai oleh pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0), Datuk Ambiga Sreenevasan dan pemimpin-pemimpin dari Pusat Komunikasi Masyarakat (Komas) dan Rangkaian Rakyat Tertindas (Jerit).
Undang-undang zalim
Kira-kira 50 penyokong yang hadir hari ini membawa Jalur Gemilang dan kertas berwarna kuning yang dicetak dengan perkataan “Perkara 10 perlembagaan jamin kebebasan berhimpun”.

"Rang undang-undang ini adalah yang zalim, kami harap ia akan ditarik balik serta-merta ... jangan sekalipun percaya ini boleh memberi kebebasan untuk berhimpun," kata Ambiga.

"Bagi saya rang undang-undang ini merampas kebebasan berhimpun, ia mengambil balik hak yang dijamin oleh perlembagaan," katanya yang juga bekas pengerusi Majlis Peguam

Menurut Ambiga lagi, rang undang-undang baru itu, lebih teruk daripada Seksyen 27 Akta Polis dan bercanggah dengan jaminan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk membuat pembaharuan pada malam sebelum Hari Malaysia, 15 September lalu.
"Gambaran yang diberikan semasa pengumuman perdana menteri bahawa kita akan menjadi lebih liberal dan kami akan diberi kebebasan berhimpun. Rang undang-undang ini tidak baik, ia tidak boleh dpinda tetapi mesti dimansuhkan," kata Ambiga lagi.

Ahli parlimen Pakatan Rakyat juga turut serta dalam tunjuk perasaan ini.

perasmian bilik gerakan upu dusun tua N23 oleh dr rani osman.


selangor negeri berkebajikan

Wednesday, November 23, 2011

HUDUD ; BACA DAN FAHAM BETOL2 !


Dato' Dr. Haron Din : Berlainan dan percanggahan pendapat dalam Islam adalah perkara lumrah dari dahulu hingga sekarang. Bagaimanapun perlulah diketahui bahawa berlainan pendapat itu, ada yang diharuskan syarak dan ada yang dilarang. Malah ada yang amat-amat dilarang.

Yang diharuskan adalah pada perkara-perkara/ furu'iyyah (masalah-masalah cabang) yang tidak ada nas syarak yang memastikannya. Adapun yang diharuskan berkhilaf, adalah pada ruang berijtihad pada perkara yang ada tiada nas syarak, tidak ada ayat yang menetapkan hukumnya. Lebih-lebih lagi pada perkara yang baru timbul, di mana tidak pernah berlaku sebelum ini.

Contoh jelas yang diharuskan berkhilaf. Seperti bila mana sahabat-sahabat Rasulullah S.A.W tidak bersependapat, sama ada hendak menghimpun dan menulis semula Al Quran. Abu Bakar As Siddiq R.A berpendapat tidak boleh dibuat kerana Rasulullah S.A.W tidak melakukannya dan tidak pernah ada suruhan melakukannya. Oleh kerana itu beliau berpendapat, ia tidak boleh dilakukan. Manakala Umar Al Khattab R.A berpendapat, perlu dilaksanakan usaha pengumpulan dan penulisan Al Quran kerana dibimbangi akan hilang daripada hafalan ummah. Sebabnya pernah berlaku, ramai penghafal Al Quran yang terkorban syahid. Generasi kemudian akan kehilangan Al Quran. Setelah mereka bertelagah, akhirnya mereka bersetuju perlu dihirnpun dan ditulis semula Al Quran.

Demikian juga mereka bertelagah dalam memilih seorang ketua negara untuk menggantikan Rasulullah S.A.W, bagi meneruskan pemerintahan Islam. Mereka bertelagah pada memilih orang, yang akhirnya mereka bersetuju memilih Abu Bakar As Siddiq.

Dalam permasalahan hudud, perlu atau tidak melaksanakannya, telah dijawab oleh amalan Rasulullah S.A.W, para sahabat dan juga as-salafussoleh. Perlu melaksanakannya. Mereka tidak pernah bertelingkah kerana wujud nas-nas syarak yang amat jelas, menyuruh kita, khasnya pihak berkuasa agama, pada setiap generasi, pada setiap negara, wajib melaksanakannya.

Sepatutnya tidak berlaku pertentangan pendapat di kalangan ulama-ulama muktabar, khasnya ulama 'amilin (yang beramal dengan ilmunya), jika kesemua mereka benar-benar takutkan Allah dan melaksanakan perintah Allah. Bagaimanapun jika ada di kalangan mereka, yang takut akan kehilangan maslahat keduniaan, daripada kemurkaan Allah Taala dan azabnya, maka akan berlakulah apa yang anda ajukan pada persoalan di atas, bahawa ada ulama bertelingkah.

Setiap satu dalam kesalahan hudud (mencuri, merompak, berzina, menuduh zina, meminum arak, murtad) semuanya telah ditetapkan Allah hukumannya di dalam Al Quran (dan terang hukumnya) dan juga hadis-hadis sahih, maka pelaksanaannya adalah wajib.

Politik Haji Dan Hijrah


Oleh :Yb. Dato' Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang

Para jamaah haji yang baru pulang, masih tersemat dalam ingatan mereka laungan talbiyah yang berkumandang di tanah suci, bermaksud: ”Ya Tuhanku!, ya Tuhanku!, tiada sekutu bagimu, sesungguhnya segala pujian, nikmat dan kerajaan menjadi milikmu“.

Diajar oleh Rasulullah S.A.W kepada sesiapa yang memakai pakaian ihram untuk haji dan umrah, menggantikan ucapan syirik oleh kaum jahiliyyah yang menunaikan haji sebelum menganut Islam.

Lafaz bagi menyahut seruan nabi Ibrahim A.S, sebutan bahasa al-Quran Ibrahim atau Abraham mengikut sebutan penganut agama lain. Ibrahim diberi penghormatan kerana perjuangannya mengajak maharaja Namrud dan rakyat kepada ajaran yang benar daripada Allah iaitu Islam sehinggalah beliau dihalau. Perjuangan ini di sambung oleh para Rasul di kalangan Bani Israil dan Rasul akhir zaman Muhammad S.A.W. Menunjukkan bahawa perjuangan Islam yang sempurna tidak memisahkan politik daripada agama. Sabda Rasulullah S.A.W: “Pemimpin politik Bani Israil ialah para Anbiya.” (Riwayat al-Bukhari). Menunjukkan juga bahawa amalan syirik bukan sahaja berlaku dalam perkara ibadat, bahkan berlaku dalam cara hidup yang melibatkan amalan politik.

Musim haji menjadi salah satu medan perjuangan Rasulullah S.A.W untuk berdakwah. Setelah para pemimpin musyrikin Makkah menolak Islam dan tawaran menegakkan negara yang adil untuk semua dan Rasulullah S.A.W juga menolak tawaran mereka untuk melantiknya menjadi raja atau pemimpin serta tawaran harta kekayaan yang melimpah ruah. Diikuti dengan penentangan secara kekerasan terhadap Rasulullah S.A.W dan orang-orang yang mengikutnya di Makkah. Para sahabat yang beriman diperintah bersabar menghadapi kezaliman, walaupun ada yang mati dibunuh.

Akhirnya Rasulullah S.A.W berkempen kepada pemimpin kabilah Arab yang berpengaruh supaya menerima Islam dan mengizinkan Islam ditegakkan dalam masyarakat dan negara. Allah berjanji bahawa kemenangan pada akhirnya kepada Islam.

Firman Allah, maksudnya: Dan Kami hendak memberi kurnia kepada orang-orang yang tertindas di bumi itu dan hendak menjadikan mereka para pemimpin dan menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (memerintah bumi). (al-Qasas: 5)

Kedatangan pemimpin kabilah Arab di musim haji dijadikan kesempatan mengajak mereka kepada Islam dan tawaran kemenangan daripada Allah. Rasulullah S.A.W ditemani oleh sahabatnya yang setia, Abu Bakar R.A memulakan pertemuan dengan pemimpin Bani ‘Amir yang ramai pengikut. Rasulullah S.A.W mengajak mereka kepada Islam dan menerima supaya negeri mereka menjadi tempat berlindung bagi menegakkan Islam dan Allah menjanjikan kemenangan.

Apabila mereka mendengar janji kemenangan daripada Allah, mereka bertanya: ”Apakah janji habuan harta dan kedudukan yang hendak diberi kepada kami apabila kemenangan dicapai, adakah kami akan menjadi ketua selepas kamu?“. Rasulullah S.A.W menjawab: “Akan diberi kepada kamu mengikut kehendak Allah, kerana Allah yang memiliki kerajaan, diberi kepada sesiapa yang dikehendakiNya“. Pemimpin Bani ‘Amir berkata “Kalau itulah jawapannya, maka kami tidak bersedia, kerana janji begini hanya menempah kesusahan sahaja“.

Rasulullah S.A.W meninggalkan khemah Bani ‘Amir dengan rasa sedih, kemudian mengunjungi khemah pemimpin Bani Syaiban. Apabila mengajak kepada Islam dan tawaran janji kemenangan daripada Allah, pemimpin Bani Syaiban bertanya: “Terangkan kepada kami, apa dia Islam?“. Apabila Rasulullah S.A.W menerangkan makna Islam dan membaca beberapa ayat-ayat al-Quran, pemimpin Bani Syaiban berkata: ”Ini bukan ucapan penduduk bumi, apa yang dinyatakan ini benar, tetapi cabarannya besar kerana ditentang oleh musuh dari seluruh pelosok dunia. Kalau berdepan dengan kabilah-kabilah Arab kami bersedia, tetapi menghadapi Parsi (kuasa besar dunia) yang bersempadan dengan kami sangat berat, kami tidak mampu“. Seterusnya mereka berjanji untuk berfikir dahulu. Rasulullah S.A.W memberitahu bahawa untuk bersama dengan Islam sekarang mestilah bersedia menghadapi cabaran daripada segenap penjuru dan mempersilakan mereka datang apabila mendengar kemenangan Islam.

Akhirnya Rasulullah S.A.W menemui rombongan kabilah Aus dan Khazraj, penduduk Yathrib (nama asal Madinah) yang bermasyarakat majmuk dengan kaum Yahudi (Ahli Kitab) yang menceritakan berita kelahiran nabi akhir zaman yang di nanti-nanti. Apabila pemimpin Aus dan Khazraj ditemui oleh Rasulullah S.A.W, mereka terus menganut Islam dan mengadakan Bai’ah (perjanjian setia) menyerahkan diri, harta dan tanah air mereka menjadi tempat hijrah. Maka berlakulah peristiwa hijrah yang terkenal.

Ketika bersedia untuk berhijrah Rasulullah S.A.W meminta menantunya Ali bin Abi Talib R.A menyerahkan barang-barang simpanan yang diamanahkan kepadanya oleh kalangan penduduk Makkah, (ahli sejarah ekonomi Islam menyatakan bahawa inilah muamalah Bank yang pertama dalam sejarah manusia). Rasulullah S.A.W selamat keluar daripada Makkah dengan menembusi kepungan musuh yang lengkap bersenjata untuk membunuhnya dengan pertolongan Allah secara mukjizat (luar biasa).

Dalam perjalanan hijrah itu Rasulullah S.A.W menggunakan pemandu, seorang bukan Islam yang tidak bermusuh dengannya bagi melalui jalan pintas yang tidak diketahui umum. Peristiwa ini menunjukkan ada kerjasama dengan bukan Islam yang bencikan kezaliman. Setelah berlakunya hijrah dengan sepenuhnya maka Rasulullah S.A.W telah mempersaudarakan kalangan penganut Islam yang berhijrah, mereka yang dikenali dengan Muhajirin dengan penduduk tempatan yang menganut Islam yang dikenali dengan Ansor.

Seterusnya menerima kehadiran masyarakat majmuk bersama kalangan bukan Islam daripada kaum Yahudi, kaum Arab musyrikin dan diikuti oleh penganut kristian yang tinggal di Najran. Satu perjanjian dimaterai, dikenali dengan Sahifah Madinah (Piagam Madinah). Yathrib ditukar nama kepada Madinah (Bandar).

Projek pertama ialah mendirikan sebuah masjid, tempat berhimpun untuk beribadat, mendengar khutbah sekurang-kurangnya sekali seminggu, majlis ilmu, pusat arahan pentadbiran, mahkamah dan menerima rombongan daripada luar, termasuk daripada kalangan bukan Islam. Projek kedua ialah pasar Madinah yang menjadi pusat perdagangan bagi seluruh rakyat semua kaum. Maka lahirlah sebuah negara dan masyarakat madani, mengambil sempena perkataan Madinah yang bererti bandar atau perkataan Tamadun yang bermaksud keadaan masyarakat manusia yang berkembang kemajuan pemikiran dan kebendaan melalui ilmu, politik, ekonomi dan Islam pula menambahnya dengan akhlak yang berteraskan iman.

Islam telah memperkasakan manusia dengan iman dan ilmu, bukan sahaja menerima manusia yang menganut Islam tanpa paksaan, dalam masa yang sama menerima ilmu akal dan pengalaman daripada pelbagai kaum dengan membawa konsep tiada pemisahan di antara perkara dunia dan akhirat, kerana dunia adalah tempat manusia beramal untuk akhirat, samada beribadat atau memakmurkan dunia berpandukan syariat Allah.

Haji dan Hijrah mencipta titik tolaknya amalan mengislamkan manusia dan negara yang menjadi mesej Rasulullah S.A.W, nabi akhir zaman yang menjadi Rasul ketika manusia seluruh dunia ditemukan dengan kemajuan perhubungan dan maklumat yang menemukan manusia seluruhnya dengan berbagai alat ciptaan yang canggih dengan meletakkan batas baik dan buruk, manfaat dan mudarat, adil dan zalim .

Firman Allah, maksudnya: Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menunaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.(Al Nisa’: 58)

Di antara amanah yang paling besar dalam ajaran Islam ialah memilih pemimpin, sehingga para sahabat R.A bermesyuarat ketika wafatnya Rasulullah S.A.W dan menjadikannya lebih penting daripada menghadiri upacara mengkebumikan jasad Rasulullah S.A.W. Sebahagian besar para sahabat menghadiri mesyuarat dan hanya sedikit sahaja yang berada di tempat pengebumiannya.

Imam al-Ghazali menegaskan: ”Agama Islam adalah asas, pemerintahan (politik) adalah pengawas, tanpa asas menjadi runtuh dan tanpa pengawas menjadi sia-sia. Umat Islam menjadi lemah kerana lemah pegangan agamanya dan hukum Islam banyak yang menjadi sia-sia kerana politik dipisahkan daripada agama Islam atau Islam menjadi slogan tanpa kuasa politik yang beramal dengan seluruh syariatnya.

Di zaman kelemahan umat Islam pula, sehingga tanah air dijajah, umat Islam dipecah dan diperintah, para ulama yang berkumpul di Makkah mengambil kesempatan musim haji mengajak jamaah haji yang datang daripada seluruh pelosok dunia supaya menentang penjajah di negeri masing-masing dan mendidik anak-anak mereka dengan ilmu Islam yang sempurna supaya Islam ditegakkan semula bagi meneruskan perjuangan Rasulullah S.A.W.

Beginilah hubungan haji dengan urusan umat, sehingga seorang pemikir orentalis menegaskan bahawa Islam tidak boleh dihapuskan selagi masih ada al-Quran dan Makkah.

( Sumber : Harakahdaily, 23hb Nov 2011 )

Tuesday, November 22, 2011

Kelebihan Bulan Muharram


1. Bulan Muharram ialah bulan pertama dalam kalendar hijriah.

2. Bulan Muharram adalah salah satu dari pada bulan-bulan Haram.

Allah berfirman, ”Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah adalah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram. Itulah agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu, dan perangilah kaum musyrikin itu semuanya sebagaimana mereka pun memerangi kamu semuanya, dan ketahuilah bahwasanya Allah beserta orang-orang yang bertakwa.” (At-Taubah: 36)

Nabi saw. bersabda, “Satu tahun itu ada dua belas bulan. Di antaranya ada empat bulan suci. Tiga bulan berturut-turut iaitu Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram. Dan satu bulan lagi adalah Rejab yang terletak antara Jamadil Akhir dan Sya’ban.” (HR Muslim no. 1679)

Bulan Haram yang dihormati itu ialah: Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab.

Umat Islam dilarang berperang dan berbunuhan dalam bulan-bulan ini kecuali jika mereka diugut.

Larangan untuk melakukan maksiat adalah lebih keras dibanding bulan-bulan lain.

Abdullah Ibnu Abbas ra. mengatakan maksiat yang dilakukan di bulan haram adalah lebih besar dosanya dan amal baik yang dilakukan di bulan haram adalah lebih besar pahalanya. (Tafsir At-Thabari)

Al Allamah Ibnu Hajar menulis, telah meriwayatkan oleh Abi Daud bahawa Nabi (صلى الله عليه وسلم) memandubkan (yakni SUNAT) berpuasa di BULAN-BULAN HARAM .

Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda, "Puasa yang paling utama sesudah puasa bulan Ramadan ialah puasa di bulan Muharram". (HR Muslim no. 1163)

SELANGOR SEDIA KERJASAMA DENGAN PUSAT


SHAH ALAM, 22 Nov: Kerajaan Negeri Selangor tiada masalah untuk bekerja sama dengan Kerajaan Pusat dalam memastikan projek-projek pembangunan berjalan lancar, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Ketika berucap kepada pelabur Jepun yang menghadiri The 30th Jameca – Majeca Joint Conference di Tokyo, semalam, Menteri Besar menegaskan, walaupun berbeza pandangan politik dengan Kerajaan Pusat, Kerajaan Selangor tiada halangan bersikap professional dalam pengurusan projek pembangunan demi kesejahteraan rakyat.

“Kerajaan Negeri telah menunjukkan bahawa kita boleh bekerjasama. Saya adalah sebahagian dari Jawatankuasa Bersama antara Negeri dan Pusat untuk projek Greater Kuala Lumpur and Klang Valley dan saya telah bekerjasama dalam menyediakan tanah untuk pembangunan yang dirancang,” kata beliau yang dikeluarkan Sekretariat Akhbar, di sini.

Beliau menambah, kerja sama itu membolehkan Kerajaan Negeri memastikan projek The Greater Kuala Lumpur and Klang Valley diuruskan dengan telus dan memberi nilai maksima kepada rakyat.

“Sebagai contoh saya mendapat tahu RM5 juta telah diperuntukkan untuk membangunkan sistem pembentungan. Saya harap pemilihan syarikat dibuat secara tender terbuka kepada syarikat tempatan dan juga antarabangsa termasuklah dari Jepun.

“Ini jelas menunjukkan perbezaan politik bukan masalah bagi saya. Sebab itu saya berada di sini untuk memantau jika pelabur Jepun ada masalah supaya kita dapat mencari penyelesaian bersama,” katanya yang menghadiri persidangan sehari itu sebagai sebahagian daripada lawatan kerja ke Jepun.

Pada persidangan tersebut, Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Jaafar Mohd Atan telah membentangkan kertas kerja bertajuk Smart City Development.

Sementara itu, Presiden Majeca, Tan Sri Azman Hashim berterima kasih kepada Kerajaan Selangor dan peserta daripada Malaysia yang lain termasuk Khazanah Nasional dan Iskandar Investment Berhad yang menghadiri persidangan bertujuan mengeratkan lagi hubungan perdagangan kedua-dua negara.

Azman berharap Jepun akan terus melabur di Malaysia dan mengembangkan pelaburan bukan saja dalam sektor perindustrian bahkan sektor perkhidmatan terutama perbankan dan kewangan Islam.

Hari ini, Menteri Besar menghadiri Seminar Pelaburan Malaysia dan melawat kilang Sony di Konan Minato-Ku di Tokyo dan dijangka kembali ke Malaysia pagi esok (Rabu).

Sunday, November 20, 2011

TAHNIAH KEPADA CALON SPRA


Tahniah kepada mereka yang telah mencapai kejayaan cemerlang dalam ujian PSRA (Penilaian Sekolah Rendah Agama). Dalam celah-celah mereka yang berlumba-lumba mengejar kejayaan dalam peperiksaan UPSR masih ada anak-anak kita yang bersungguh-sungguh dan menumpukan pengajian agama. Tahniah kepada adik Ilya Natasya Muaallimin kerana dianugerahkan murid terbaik PSRA dan murid mithali Sekolah Rendah Agama Pekan Batu 14 Hulu Langat. Semoga kejayaan anda menjadi contoh dan ikutan kepada orang lain.

PERASMIAN HOMESTAY DI KAMPUNG JAWA OLEH MENTERI BESAR






















Isteri Menteri Besar Selangor, Puan Sri Salbiah Ke Kampung Orang Asli Sg Congkak






Friday, November 18, 2011

MP dakwa wang bantuan disalur ketua bahagian Umno


Ketua wanita PKR, Zuraida Kamaruddin mendakwa, sekumpulan pelajar sekolah di dalam kawasannya telah menerima wang bantuan daripada ketua Umno bahagian Ampang Datuk Ismail Kijo.

Sedangkan, wang bantuan itu RM100 itu sepatutnya diserahkan oleh menteri atau kakitangan kerajaan, katanya dalam satu sidang media di ibu pejabat PKR hari ini.

Beliau mendakwa, seramai kira-kira 100 orang pelajar sekolah rendah itu telah dibawa ke Bangunan Umno Ampang di untuk menerima wang bantuan berkenaan, pagi ini.

Zuraida juga mendakwa, beliau mengetahui perkara itu setelah dihubungi oleh ibu bapa yang marah dengan kejadian berkenaan.

"Ibu bapa rasa marah kerana disuruh ke pejabat Umno untuk dapatkan wang ini," katanya lagi dalam sidang media berkenaan.

Beliau turut menunjukkan kepada wartawan beberapa keping gambar yang didakwa dirakam dalam majlis berkenaan, termasuk satu foto yang menunjukkan seorang lelaki yang didakwa sebagai Ismail.

Dalam foto kabur berkenaan, lelaki yang didakwa sebagai Ismail itu kelihatan sedang menyampaikan satu objek kepada seorang individu lain.

Latar di belakang pentas majlis berkenaan diterakan dengan tulisan "Hari Anugerah Kecemerlangan 2011."

Wang bantuan RM100 itu diumumkan kerajaan dalam pembentangan Bajet 2012 bulan lalu.

Kebetulan, kata Ismail

Sementara itu, Ismail ketika dihubungi Malaysiakini mengesahkan acara itu tetapi menurutnya ia berlaku secara kebetulan sahaja.

"Program ini dah lama dirancang dan kebetulan sekolah nak beri wang RM100. Jadi guru besar minta lakukan (kedua-dua program) bersama," katanya.

Katanya, program itu juga dilakukan di bangunan Umno kerana keadaan dewan sekolah yang teruk dan panas.

Justeru, tambahnya, bagi keselesaan ibu bapa pihak sekolah menyewa bangunan itu dengan harga RM400.

Tahniah Kepada Semua Calon UPSR


Walau apapun keputusan yang anda terima 5A ke 5B kehatta tak ada A pun, tahniah di atas keputusan yang anda terima.... Tahniah PAS Dusun Tua ucapkan kerana telah berjaya mengharungi tahap pertama ujian dalam hidup. Banyak lagi ujian-ujian yang bakal menanti.

Bukan sangat kejayaan yang perlu diraikan namun kalau mendapat keputusan cemerlang 5A adalah lebih baik. Sebaliknya usaha yang bersungguh itulah sebenarnya kejayaan yang paling utama. Allah tidak menilai kita berdasarkan pencapaian yang kita perolehi, tetapi penilaian adalah berdasarkan usaha yang telah kita buat. Allah mengurniakan pahla bukan apabila kita berjaya sahaja, tetapi pahla adalah untuk mereka yang berusaha.

Allah tidak mengira kita menang dalam peperangan sebagai matlamat, tetapi menjadikan perjuangan itu adalah satu matlamat. Kalah atau menang itu adalah ketentuan Allah. Sekiranya Allah mengkehendaki kejayaan maka banyak-banyaklah bersyukur kerana nikmat yang dikurniakan. Menang adakah satu yang diharapkan namun syahid juga satu anugerah yang amat besar.

Masa masih panjang dan perjalanan masih jauh. Ini hanyalah permulaan dalam hidup kita. Yang berjaya, jadikanlah kejayaan ini sebagai pembakar semangat untuk lebih berjaya pada masa depan. Kepada yang gagal, peluang masih lagi terbuka. Jadikanlah pencapaian hari ini sebagai pencetus semangat untuk mencapai kejayaan yang cemerlang satu masa nanti.

Tahniah kepada calon, tahniah dan terima kasih kepada guru-guru dan syabas kepada ibu-bapa di atas kesabaran anda. Esok masih ada untuk memberi kita peluang dan juga anak-anak kita genarasi baru bagi melakar masa depan yang lebih gemilang. Semoga berjaya dunia dan akhirat. Insyallah.

SAMPAH PEKAN BT14 DAN BT18, Hulu Langat



Kepada mereka yang terlibat membuang sampah dikawasan ini,tolong fikirkan kesan pencemaran alam sekitar.Terutama pencemaran bau yang terpaksa dihadapi oleh penduduk sekitar. Disana terdapat kawasan perumahan dan kedai makan...sekarang disini sudah jadi lokasi pembiakan nyamuk dan lalat. Tikus-tikus dah lama membesar disini.Perkhidmatan mengangkut sampah tak tentu masa.Kekadangkala sampah mengunung,melambak ketepi sungai,dengan air busuk mengalir kesungai langat yang menjadi sumber minuman rakyat Selangor...fikir-fikirkan lah.............
pemandangan yang menjijikan....ditepi jalan utama menuju ke distinasi perkelahan....Pangson.
Baki sampah dikutip....sisa-sisa ini terbiar membusuk, mengotorkan bahu jalan,saban minggu ribuan pengunjung dari segenap pelusuk melalui jalan ini menuju ke distinasi perkelahan Sg.Congkak Pangson...
bila didesak,sampah dah mengunung barulah kontraktor datang memugut...itu pun baki sampah berselerak menjadi habuan binatang liar......penduduk terpaksa menyedut udara busuk yang tercemar.....SALAH SIAPA ? MPKJ.....KONTRAKTOR ? aduan telah dibuat kepada semua pihak berkenaan malangnya tiada tindakan tegas yang diambil. Masyarakat setempat sering mengadu..kesian mereka yang tinggal berdekatan...