
MESKIPUN berdepan dengan serangan daripada Umno-BN, kerajaan Negeri Selangor pimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berjaya meningkatkan jumlah Kumpulan Wang Disatukan RM266.91 juta (20.2 peratus) kepada RM1,586.88 juta pada tahun 2010 berbanding RM1,319.97 juta pada tahun 2009.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2010, peningkatan ini disebabkan oleh peningkatan Akaun Hasil Disatukan sejumlah RM124.24 juta (20.4%) dan Akaun Amanah Disatukan sejumlah RM142.67 juta (20 peratus).
Analisis audit mendapati Kumpulan Wang Disatukan menunjukkan trend meningkat sejumlah RM432.91 juta (43.6 peratus) daripada tahun 2006 kepada RM1,424.66 juta pada tahun 2008.
Bagaimanapun, Kumpulan Wang Disatukan menurun sejumlah RM104.69 juta (7.3 peratus) kepada RM1,319.97 juta pada tahun 2009 berbanding RM1,424.66 juta pada tahun 2008.
Tetapi kata Laporan itu, pada tahun 2010, Kumpulan Wang Disatukan meningkat semula sejumlah RM266.91 juta (20.2 peratus) kepada RM1,586.88 juta berbanding RM1,319.97 juta pada tahun 2009 yang merupakan paras yang tertinggi dalam tempoh 5 tahun.
Dalam laporan itu Ketua Audit Negara memuji prestasi pembayaran balik hutang pinjaman kerajaan negeri kepada kerajaan persekutuan.
Kata laporan itu, analisis perbandingan antara jumlah hutang awam pada tahun 2010 berbanding baki tunggakan bayaran balik pinjaman pada tahun 2010 mendapati prestasi pembayaran balik pinjaman tahun 2010 adalah sangat baik.
“Ini adalah kerana baki hutang awam pada tahun 2010 menurun sejumlah RM58.91 juta (5.5 peratus) berbanding tahun 2009. Manakala, tunggakan bayaran balik pinjaman pada tahun 2010 turut mencatatkan penurunan sejumlah RM173.47 juta (20.9 peratus) berbanding tahun 2009,” kata Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dalam laporannya itu.
Berikut adalah Ringkasan Laporan Ketua Audit Negara 2010 bagi Selangor :
Analisis Kedudukan Kewangan Kerajaan Selangor
Kedudukan kewangan
Kerajaan Negeri Selangor pada tahun 2010 adalah memuaskan.
Kumpulan Wang Disatukan
Kerajaan Negeri meningkat sejumlah RM266.91 juta (20.2 peratus) kepada RM1,586.88 juta pada tahun 2010 berbanding RM1,319.97 juta pada tahun 2009. Hasil Kerajaan Negeri yang berjumlah RM1,571.50 juta menurun sejumlah RM192.36 juta (10.9 peratus) berbanding tahun 2009 yang berjumlah RM1,763.86 juta.
Perbelanjaan mengurus yang dilakukan turut menurun sejumlah RM382.56 juta (20.9 peratus) menjadi RM1,447.26 juta pada tahun 2010 berbanding RM1,829.82 juta pada tahun 2009.
Laporan Audit juga menyebut, kerajaan Negeri berjaya mengurangkan tunggakan hasil negeri sejumlah RM99.87 juta (16.6 peratus) kepada RM502.05 juta pada tahun 2010 berbanding RM601.92 juta pada tahun 2009.
Rancangan pembangunan kerajaan negeri Sehingga akhir tahun 2010, sebanyak 927 projek (64.5 peratus) yang dibiayai oleh kerajaan negeri dapat disiapkan dalam tempoh Rancangan Malaysia kesembilan (RMK-9).
Walaupun pencapaian perbelanjaan pembangunan RMK-9 bagi tempoh 5 tahun iaitu dari tahun 2006 hingga 2010 mencapai 92.1%, hanya sebanyak 1,108 (77.1 peratus) daripada 1,437 projek yang diluluskan telah siap dan sedang dilaksanakan.
Pengesahan penyata kewangan
Laporan Audit Negara menyebut, penyata Kewangan Kerajaan Negeri Selangor menunjukkan gambaran yang benar dan saksama terhadap kedudukan kewangan Kerajaan Negeri Selangor bagi tahun berakhir 31 Disember 2010.
Semua butiran dalam Lembaran Imbangan dan Penyata Akaun Memorandum telah disertakan dengan dokumen sokongan yang mencukupi.
Pencapaian Pengurusan Kewangan Jabatan, Agensi di bawah kerajaan negeri Laporan Audit 2010 menyatakan, secara umumnya, prestasi pengurusan kewangan tahun 2010 di empat jabatan, agensi negeri iaitu Perbendaharaan Negeri, Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Majlis Perbandaran Selayang serta Jabatan Perancang Bandar Dan Desa adalah pada tahap sangat baik.
Sementara 11 jabatan atau agensi negeri adalah pada tahap baik dan satu agensi negeri pada tahap memuaskan.
Penyerahan, pengesahan, pembentangan penyata kewangan dan prestasi kewangan agensi negeri. Pada tahun 2010, penyerahan penyata kewangan agensi Kerajaan Negeri Selangor adalah baik, kata Lapotan Audit Negara itu.
Kesemua badan berkanun negeri, Majlis Agama Islam dan Pihak Berkuasa Tempatan telah dapat menyerahkan Penyata Kewangan tahun 2009 masingmasing mengikut tempoh yang ditetapkan untuk diaudit kecuali Majlis Sukan Negeri Selangor dan Kumpulan Wang Hospital Tai Wa.
Manakala setakat 31 Mei 2011, sebanyak 19 daripada 25 Penyata Kewangan tahun 2010 telah diserahkan untuk pengesahan.
Pembentangan Laporan Ketua Audit dan pembentangan di PAC
Laporan Ketua Audit Negara mengenai penyata kewangan kerajaan negeri dan pengurusan kewangan jabatan, agensi Negeri Selangor tahun 2009 telah dibentangkan di Dewan Negeri Selangor pada 8 November 2010.
Laporan Ketua Audit Negara 2010 juga menyebut, persembahan Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Selangor bagi tahun 2010 adalah selaras dengan piawaian perakaunan kerajaan.
Pada pendapat audit, penyata kewangan Kerajaan Negeri Selangor pada keseluruhannya menunjukkan gambaran yang benar dan saksama tentang kedudukan kewangan kerajaan negeri bagi tahun berakhir 31 Disember 2010 dan rekod perakaunannya telah diselenggarakan dengan teratur dan kemas kini.
Kedudukan Kewangan Kerajaan Selangor
Mengikut Lembaran Imbangan, jumlah Kumpulan Wang Disatukan pada akhir tahun 2010 adalah RM1,586.88 juta.
Jumlah tersebut terdiri daripada aset berbentuk wang tunai RM918.27 juta dan pelaburan sejumlah RM668.61 juta.
Analisis Wang Tunai
Analisis perbandingan kedudukan wang tunai bagi tahun 2010 dan 2009 menunjukkan peningkatan yang ketara pada tahun 2010 berjumlah RM301.07 juta (48.8 peratus) menjadi RM918.27 juta berbanding RM617.20 juta pada tahun 2009.
Baki wang tunai dalam perjalanan meningkat sejumlah RM6.43 juta (279.6 peratus) menjadi RM8.73 juta pada tahun 2010 berbanding RM2.30 juta pada tahun 2009.
Baki wang tunai dalam bank pula meningkat sejumlah RM294.68 juta (48.2 peratus) menjadi RM906.58 juta pada tahun 2010 berbanding RM611.90 juta pada tahun 2009.
Manakala wang tunai dalam tangan mencatatkan penurunan sejumlah RM0.04 juta (1.3 peratus) menjadi RM2.96 juta pada tahun 2010 berbanding RM3 juta pada tahun 2009.
Pada keseluruhannya, peningkatan baki wang tunai pada akhir tahun 2010 adalah disebabkan jumlah penerimaan iaitu RM1,753.44 juta adalah lebih tinggi berbanding pembayaran berjumlah RM1,452.37 juta iaitu lebihan sejumlah RM301.07 juta.
Laporan Audit menyebut, ini adalah kerana penurunan perbelanjaan mengurus dan pembangunan masing-masing sebanyak 24.9 peratus dan 22.9 peratus pada tahun 2010 berbanding tahun 2009.
Analisis pelaburan
Analisis trend mendapati jumlah pelaburan meningkat setiap tahun dari tahun 2006 hingga 2009.
Bagaimanapun, pada tahun 2010, peningkatan hanya pada Pelaburan Kumpulan Wang Amanah manakala Pelaburan Am menurun. Ini disebabkan saham Petronas Dagangan Berhad dan Malaysia Airports Holdings Berhad berjumlah RM15.05 juta yang telah dijual oleh Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (PSKS) pada tahun 2005 telah dilaraskan menjadi pinjaman boleh dituntut daripada PSKS mulai tahun 2010 mengikut keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang bersidang pada bulan Februari tahun 2010.
Prestasi Kewangan Akaun Hasil Disatukan
Analisis mendapati pada tahun 2010, akaun Hasil Disatukan Kerajaan Negeri telah mencatatkan peningkatan surplus sejumlah RM190.20 juta (288.4 peratus) menjadikan surplus berjumlah RM124.24 juta berbanding defisit RM65.96 juta pada tahun 2009.
Peningkatan ini adalah disebabkan oleh penurunan perbelanjaan mengurus sejumlah RM382.56 juta (20.9 peratus) yang lebih besar berbanding penurunan hasil sejumlah RM192.36 juta (10.9 peratus)
Analisis Audit menunjukkan pada akhir tahun 2010, baki wang tunai meningkat sejumlah RM301.07 juta (48.8 peratus) menjadi RM918.27 juta berbanding RM617.20 juta pada tahun 2009.
Peningkatan ini disebabkan penurunan pembayaran sejumlah RM445.06 juta (23.5%) melebihi penurunan penerimaan sejumlah RM27.55 juta (1.5 peratus).
Hutang awam
Analisis Audit menunjukkan pada tahun 2010, baki hutang kerajaan negeri kepada Kerajaan Persekutuan telah menurun sejumlah RM58.91 juta (5.5 peratus) menjadi RM1,004.64 juta berbanding RM1,063.55 juta pada tahun 2009.
Penurunan ini disebabkan kerajaan negeri telah membuat bayaran balik hutang sejumlah RM58.91 juta bagi menjelaskan pinjaman bagi Rumah Awam Kos Rendah dan Projek Ladang Hutan masing-masing sejumlah RM52.42 juta dan RM6.49 juta.
Analisis Audit mendapati pada keseluruhannya, baki tunggakan bayaran balik pinjaman Kerajaan Negeri meningkat kecuali pada tahun 2010 berlaku penurunan sebanyak RM173.47 juta (20.9%) berbanding tahun 2009.
Antara sebab penurunan adalah kerajaan negeri telah membayar balik kesemua hutang bagi pinjaman Projek Ladang Hutan, bayaran balik bagi sebahagian pinjaman Rumah Awam Kos Rendah dan mendapat pengecualian kadar faedah untuk semua baki pinjaman Projek Bekalan Air serta hapus kira semua tunggakan faedah bagi pinjaman yang sama daripada Kerajaan Persekutuan.
Prestasi pembayaran hutang awam pada tahun 2010 adalah sangat baik kerana baki hutang awam telah menurun sejumlah RM58.91 juta manakala tunggakan bayaran balik pinjaman mencatatkan penurunan sejumlah RM173.47 juta.
No comments:
Post a Comment