Oleh USTAZ ZAINUDIN HASHIM
ALHAMDULILLAH, selesai sudah sambutan kedua dua hari raya Aidilfitri dan Aidiladha untuk tahun hijrah tahun ini. Jemaah haji juga akan pulang, ia juga menandakan bahawa kita sudah berada di penghujung tahun dan memerlukan pengamatan serius bahawa tahun baharu hijrah menandakan usia kita semakin bertambah, dan apa pula bekalan untuk bertemu Allah.
Tetapi apa yang mendukacitakan apabila terdapat segelintir umat Islam yang tidak menjaga sentimen agama yang boleh disifatkan sebagai mencemar kemuliaan Aidiladha kerana melakukan beberapa kesalahan yang tidak sepatutnya berlaku, apatah lagi mereka yang terdiri daripada golongan berpelajaran.
Antara kesalahan yang dikenal pasti berlaku pada hari pertama Aidiladha baru-baru ini, selepas selesai solat hari raya, terdapat mereka yang keluar daripada masjid dan menuju ke luar kawasan masjid, ketika khatib atas mimbar berkhutbah, ada yang bersembang dan tidak kurang juga yang merokok, juga terdapat mereka yang menyinsing kain sarung hingga menampakkan kepala lutut dan sebagainya.
Persoalannya kenapa keadaan ini boleh terjadi, mungkin bagi pandangan mereka bahawa mendengar khutbah hanya sunat hukumnya, tetapi mereka lupa bahawa kebanyakan khutbah pada hari itu menjelaskan konsep korban dan pengorbanan yang telah ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim a.s. dan Ismail a.s. yang sepatutnya mereka beri perhatian bagaimana mereka boleh berkorban untuk agama Allah sekali gus memperolehi syafaat Nabi Muhammad s.a.w. pada hari akhirat.
Mereka juga lupa, bahawa Imam al-Ghazali pernah menyebut dalam buku tersohornya Ihya’ ‘Ulumiddin bahawa mana-mana orang Islam yang boleh meringanringankan perkara yang sunat, tidak mustahil mereka juga meringan-ringankan yang wajib, pendekatan Imam al-Ghazali itu bukanlah teori semata-mata, tetapi melalui pengamatannya sepanjang bersama masyarakat.
Apakah mereka sudah tidak ada masa lagi untuk bersembang hingga pada waktu yang terbatas itu juga diambil kesempatan untuk bercakap pada perkara dunia, lupakah mereka bahawa banyak perkara dan amalanamalan yang masih belum mereka lakukan terutama yang melibatkan perubahan jati diri mereka sebagai umat Islam.
Dengan sebab mereka tidak dengar khutbah itulah, maka berlaku lagi kesalahan yang kedua, iaitu ketika mereka menjadi peserta korban, mereka datang menyaksikan ibadat korban bersama-sama dengan peserta lain, tetapi apa yang mendukacitakan ialah mereka datang dengan memakai seluar pendek, bergelang tangan serta berantai leher, menghisap rokok ketika penyembelihan sedang berlangsung dan tidak kurang juga di kalangan peserta perempuan yang datang belenggeng tanpa tudung di kepala, bersolek dan memakai pakaian raya yang dianggap tidak sopan, sedang korban itu juga adalah ibadat yang mesti dijaga adab-adabnya.
Bahan perbualan mereka juga bukan berorientasikan aspek keagamaan ketika penyembelihan sedang berlangsung, lebih kepada perbualan bisnes, persoalan IT dan sebagainya, inilah yang penulis teliti sepanjang bersama dengan segelintir masyarakat ketika ibadat korban sedang dijalankan.
Bagaimana perasaan mereka, jika ibadat korban yang mereka anggap sunat itu dilakukan oleh para penyembelih dengan sambil lewa, apakah mereka tidak ada perasaan? Bagi yang perasan tindakan penyembelih dengan sambil lewa mungkin akan naik marah kerana upacara ibadat itu tidak dilakukan dengan serius, maka dalam keadaan seumpama ini, tanyalah diri sendiri sebelum menghukum orang lain untuk bersungguh-sungguh walaupun dalam perkara sunat.
Termasuk juga kesalahan pada hari raya:
1. Sentuhan; berjabat tangan di antara lelaki dan wanita secara meluas ketika berziarah rumah jiran dan rakan.
Walaupun terdapat perbezaan pendapat para ulama dalam bab ini. Ia lebih baik dijauhi terutama apabila melibatkan pemuda dan pemudi. Malah disebut dalam satu riwayat pada hari bai’ah Aqabah kedua di mana baginda bersabda: “Aku sama sekali tidak bersalam dengan wanita.” Sila rujuk kitab Sirah.
2. Aurat dan ipar; Ipar duai yang tidak menjaga aurat di antara satu sama lain ketika berada di dalam rumah.
Seperti adik ipar perempuan tidak menutup aurat di rumah sedangkan abang iparnya berada di rumah. Termasuk juga, tidur secara terbuka di ruang tamu tanpa menutup aurat, sehingga membolehkan abang ipar atau adik ipar lelaki melihat aurat yang terdedah.
3. Wangian wanita; golongan wanita memakai wangian dan solekan ala artis di musim perayaan lalu keluar dari rumah mendedahkan diri mereka kepada lelaki bukan mahram.
4. Pakaian wanita; pakaian yang mendedahkan susuk tubuh dengan sempit dan nipisnya lalu bertandang ke khalayak ramai.
5. Kubur; berkumpul beramai-ramai di kubur hingga duduk di atas kubur orang lain dengan alasan untuk membaca Yassin yang agak panjang dan meletihkan jika berdiri.
Larangan ini disebut jelas di dalam mazhab Syafie sebagai dihurai oleh Imam Khatib As-Syarbini, malah bersandar kepadanya juga dilarang ( Mughni Al-Muhtaj, 1/354; Minhaj at-Tolibin)
6. Meninggalkan solat; kerana terlalu sibuk beraya sana sini.
7. Mengupah tukang sembelih yang dilarang keras oleh agama, melebihkan bahagian akikah daripada bahagian korban pada seekor lembu atau kerbau, lambat mengagihkan daging korban hingga melebihi tiga hari, menjual kulit lembu dan sebagainya serta banyak lagi kesalahan berlaku dalam proses ibadat korban.
Hilang integriti dalam memahami takbir hari raya Sesungguhnya takbir raya menurut pendapat ulama disyariatkan pada malam raya 1 Syawal tahun 627H, iaitu pada peperangan Ahzab antara tentera Islam dan parti-parti komponen yang terdiri daripada musyrikin, Yahudi, munafikin dan Nasrani yang disebut Ahzab (parti-parti), ia juga dikenali sebagai peperangan Khandaq (parit) yang dicadangkan oleh Salman al-Farisi, tentera Islam diberi kemenangan Allah pada peperangan tersebut seperti yang tercatat dalam ayat 22 surah al-Ahzab.
Firman Allah bermaksud: “Dan pada masa orang-orang yang beriman melihat tentera al-Ahzaab, berkatalah mereka: ‘Inilah yang telah dijanjikan Allah dan Rasul-Nya kepada kami dan benarlah (apa yang telah dijanjikan) Allah dan Rasul-Nya’. Dan (angkatan tentera musuh yang mereka lihat) itu tidak memberi sebarang kesan kepada mereka selain daripada menambahkan iman dan penyerahan diri mereka bulat-bulat kepada Allah.”
Maka terciptalah takbir raya yang sering dibaca oleh umat Islam sejak di zaman baginda Rasulullah s.a.w. hinggalah kepada generasi hari ini, bezanya generasi terawal memahami konsep takbir tersebut, sementara generasi hari ini hanya pandai menyebut dan mendendangkannya dengan baik, tetapi bukan semua memahami, justeru walaupun terdapat ramai yang melafazkannya, tetapi sekadar hanya mainan bibir sahaja.
Sesungguhnya takbir raya itu menyatakan kebenaran janji-janji Allah yang mahu memenangkan tentera Islam yang menolong agama-Nya, mengalahkan tentera-tentera musuh dengan memperkasa tentera-tentera Islam, justeru jika setiap individu Muslim menghayatinya dengan penuh tekun dan faham, pasti mereka tidak akan melakukan kesalahan-kesalahan yang boleh mengurangkan pahala mereka.
No comments:
Post a Comment