"Dan katakanlah: Beramallah kamu, maka Allah dan RasulNya serta orang-orang beriman akan melihat amalan kamu itu dan kamu akan dikembalikan kepada Tuhan Yang Mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu diceritakannya kepada kamu apa yang telah dikerjakan"(At-Taubah:105)

Friday, December 24, 2010

Jangan pandang enteng janji Pakatan – Khir Toyo

SHAH ALAM, 24 Dis - Setelah didakwa ekoran pemilikan banglo mewahnya, bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo meminta Barisan Nasional (BN) agar jangan memandang enteng (mudah) janji Pakatan Rakyat (Pakatan) dalam konvensyen mereka baru-baru ini.

“Pada hemat saya, BN tidak boleh memandang enteng sebahagian janji Pakatan menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang yang terkandung dalam Buku Jingga bertajuk, ‘Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia!’

“Sungguhpun sebahagian janji tersebut tidak realistik namun terdapat janji-janji yang boleh mempengaruhi rakyat memberi undi kepada mereka terutamanya kenaikan gaji guru sebanyak RM500,” tulis Khir dalam blognya.

Bagi beliau, kehadiran kira-kira 400,000 guru sekarang ini dan tidak mustahil sebahagian besar mereka akan menilai tawaran tersebut dengan serius.

Ini kerana, tulis beliau, kebanyakan guru mempunyai pegangan politik yang agak bebas. Tidak ramai yang membuat keputusan menyokong mana-mana parti politik sejak awal lagi, katanya.

Khir juga berpandangan, kenaikan kos sara hidup yang kian menjadi-jadi sejak wujudnya makmal rasionalisasi subsidi boleh menjadikan sebahagian besar rakyat menerima sahaja apa yang ditawarkan oleh Pakatan, biarpun mereka mungkin tidak mampu melaksanakan sepenuhnya.

Beliau juga percaya jentera kerajaan terutamanya Menteri ‘jaga makmal’ boleh memberi penjelasan yang logik, rasional dan sangat akademik kepada rakyat bagi menjustifikasikan kenaikan harga barang, petrol dan pengenaan pelbagai cukai termasuk kemungkinan pelaksanaan GST.

Beliau juga juga percaya kerajaan mempunyai kebolehan untuk menjelaskan mengapa Menteri ‘jaga letrik’ mengumumkan kerajaan bersetuju kenaikan tarif letrik tapi masa belum sesuai.

Tentulah kerajaan juga mampu menjelaskan mengapa Tenaga Nasional Berhad (TNB) bercakap soal kekurangan untung (bukan rugi) jika tarif tidak dinaikkan seolah-olah TNB ini berniaga menggunakan duit sendiri, bukannya duit rakyat, sindir beliau.

Menurut sebahagian rakyat termasuk guru-guru yang menjadi sasaran kempen Pakatan sekarang, “sekurang-kurangnya ada harapan dengan Pakatan berbanding BN yang asyik bercakap soal mengurangkan subsidi dan menaikkan tarif yang sekali gus menambah perbelanjaan dan hutang mereka,” tulis Khir lagi.

“Jadi, ketika kita boleh menjelaskan untung rugi, logik dan rasional setiap tindakan namun yang jarang ditanya, apakah keputusan dan penjelasan kerajaan mampu meyakinkan rakyat yang akhirnya akan diterjemahkan ke dalam peti undi dengan memberi undi kepada BN?” soal beliau.

Sungguhpun, tulis Khir, BN boleh mendakwa banyak janji Pakatan di Selangor belum tertunai, “namun saya percaya ia akan mula dilaksanakan menjelang pilihan raya akan datang bagi menggula-gulakan pengundi.”

Beliau juga menulis, tidak mustahil pada tahun hadapan Kerajaan Negeri Selangor akan mengurangkan cukai pintu premis kediaman sebanyak 20% dan cukai pintu premis perniagaan sebanyak 10% seperti yang dijanjikan dalam manifesto mereka sebelum ini.

“Ini akan memberi ‘pukulan hebat’ kepada BN,” katanya.

Bagi beliau, masalah BN lebih besar daripada Pakatan.

BN sebagai pemerintah tidak boleh berjanji sebaliknya perlu melaksanakan kerana ia memegang tampuk pemerintahan, katanya.

Pandangan Khir ini disokong oleh para pembaca blog beliau itu melalui komen-komen mereka.

Mereka sangat marah dengan tindakan kerajaan meluluskan akta Pengangkutan Jalan baru-baru yang bakal menyaksikan kutipan saman JPJ akan diswastakan.

“Saya sendiri walaupun adalah ahli dan penyokong tegar UMNO-BN, namun tidak teragak-agak untuk tidak keluar mengundi dalam PRU-13 bersama-sama dengan ahli keluarga dan saudara-mara saya kerana kecewa dengan kerajaan BN,” tulis salah seorang pelawat laman beliau itu.

Menurutnya, Perdana Menteri sentiasa menyeru agar pemimpin BN merasai denyut nadi rakyat.

“Tetapi bagi saya itu hanyalah retorik kerana pemimpin BN tidak merasa apa yg dirasa oleh rakyat bawahan. Mereka hidup mewah tanpa merasa risau untuk berbelanja kerana mempunyai wang yang banyak tidak seperti kami rakyat bawahan,” tulis tetamu beliau itu.

Seorang lagi tetamu beliau mennulis, “Saya pun heran dengan sesetengah menteri kerajaan ni. Mereka ni macam tak sensitif dengan kehidupan, derita dan denyut nadi rakyat. Contoh yg terbaru ialah Rang Undang-undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2010.

“Menteri Pengangkutan Jalan dari MCA ni gagal untuk memberi justifikasi kewajaran penswastaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

“Tengah rakyat dok pening kepala & menangis dengan segala kos hidup yang tinggi, tiba-tiba dilihat Kerajaan cuba buat keuntungan dengan penswastaan saman,” tulis beliau.

-Harakahdaily

No comments:

Post a Comment