2011/10/27
KOTA BHARU: Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat, berkata beliau tidak mahu lagi membuat sebarang ulasan mengenai pelaksanaan hudud di Kelantan, sebaliknya menyerahkannya kepada Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Enakmen Jenayah Syariah II, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
Nik Aziz berkata, beliau menyerahkannya kepada Mohd Amar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri bagi mengelakkan banyak pihak membuat kenyataan berhubung isu itu. “Saya serahkan kepada Datuk Amar seorang supaya tidak celaru. Saya tak mahu cakap, saya ulang sekali lagi zaman bercakap sudah habis, sekarang zaman bertindak, (kalau) bertanya lebih (perlu) tanya Amar. “(Mengenai berapa lama tempoh untuk melaksanakan hudud) tanya kepada Amar, saya tak mahu jawab sebab saya janji begitu, janji jangan ramai orang bercakap... menyampah," katanya ketika sidang media selepas Majlis Perasmian Projek
Perlombongan Interbumi Mining Sdn Bhd dan Penyampaian Sumbangan Sempena Aidiladha di Lubok Stol di sini, semalam.
Sebelum ini, Kerajaan PAS Kelantan menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Enakmen Jenayah Syariah II bagi melihat kemungkinan pelaksanaan undang-undang hudud di negeri ini tidak memerlukan pindaan Perlembagaan dan undang-undang yang sedia ada.
Mohd Amar dilaporkan sebagai berkata, jawatankuasa berkenaan dianggotai 19 antaranya membabitkan EXCO Kerajaan Negeri, penasihat undang-undang, Ketua Polis Kelantan, Pengarah Penjara Kelantan, Mufti Kelantan, Ketua Hakim Syarie, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dengan Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob sebagai pengerusi.
Selain itu, Nik Aziz ketika ditanya mengenai akta murtad berkata, akta itu sudah ada dalam undang-undang hudud.
"Akta murtad sudah ada dalam hudud, murtad ini bukan mari daripada Kristian, (tetapi) mari daripada orang Melayu yang tolak Islam, orang Melayu tolak Islam ambil kebangsaan yang menyebabkan generasi muda berpendapat Islam ini lekeh.
"Apabila lekeh mari (datang penganut) Kristian atau Komunis bagi duit (kemudian) automatik dia akan tinggal Islam kerana orang Melayu sendiri memperlekehkan agama itu,” katanya.
No comments:
Post a Comment